Skip to main content

Singapura

Wanita didakwa kerana beri maklumat palsu untuk daftar anak bagi Darjah 1

Seorang wanita berusia 41 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (5 Jun) kerana memberikan maklumat palsu untuk mendaftarkan anak perempuannya di sebuah sekolah di utara Singapura semasa pendaftaran Darjah 1 pada 2023.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita didakwa kerana beri maklumat palsu untuk daftar anak bagi Darjah 1

Mahkamah Negara (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 05 Jun 2025 02:47PM Dikemas Kini : 05 Jun 2025 02:48PM
  • Seorang wanita berusia 41 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (5 Jun) kerana memberikan maklumat palsu untuk mendaftarkan anak perempuannya di sebuah sekolah di utara Singapura semasa pendaftaran Darjah 1 pada 2023.
  • Antara 24 Jun dan 20 Sep 2024, wanita itu dipercayai memberikan maklumat palsu tentang alamat kediamannya kepada pengetua dan naib pengetua sekolah itu supaya mereka membenarkan anak perempuannya didaftarkan di sekolah tersebut di bawah Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 2023.
  • Dua tuduhan terhadap wanita itu adalah di bawah Akta Pendaftaran Kebangsaan dan Peraturan Pendaftaran Kebangsaan kerana memberi maklumat palsu apabila dia melaporkan pertukaran alamat kepada pegawai pendaftaran.
  • Jika sabit kesalahan memberi maklumat palsu kepada pegawai pendaftaran, wanita itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau didenda sehingga S$3,000 atau kedua-duanya.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 41 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (5 Jun) kerana memberikan maklumat palsu untuk mendaftarkan anak perempuannya di sebuah sekolah di utara Singapura semasa pendaftaran Darjah 1 pada 2023.

Wanita warga Singapura itu dihadapkan ke mahkamah dengan satu tuduhan gabungan memberi maklumat palsu kepada pegawai awam dan dua tuduhan di bawah Akta Pendaftaran Kebangsaan dan Peraturan Pendaftaran Kebangsaan.

Namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti anak perempuannya.

Antara 24 Jun dan 20 Sep 2024, wanita itu dipercayai memberikan maklumat palsu tentang alamat kediamannya kepada pengetua dan naib pengetua sekolah itu supaya mereka membenarkan anak perempuannya didaftarkan di sekolah tersebut di bawah Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 2023.

Alamat yang diberikan adalah kurang daripada 2km dari sekolah.

Semasa Pendaftaran Darjah 1, keutamaan diberikan kepada Warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang tinggal lebih dekat dengan sekolah pilihan apabila terdapat lebih ramai pemohon berbanding jumlah tempat kosong, menurut Kementerian Pendidikan (MOE).

Alamat yang digunakan untuk pendaftaran Darjah 1 hendaklah alamat kediaman rasmi ibu bapa kanak-kanak, seperti yang dipaparkan pada NRIC mereka.

Dua tuduhan terhadap wanita itu adalah di bawah Akta Pendaftaran Kebangsaan dan Peraturan Pendaftaran Kebangsaan kerana memberi maklumat palsu apabila dia melaporkan pertukaran alamat kepada pegawai pendaftaran.

Dia dipercayai berbuat demikian sebanyak dua kali pada 17 Jun 2023 dan 3 Jul 2024.

Bagi kedua-dua tarikh tersebut, wanita itu memberikan alamat yang sama seperti yang diberikannya kepada pengetua dan naib pengetua sekolah.

Dihadapkan ke mahkamah tanpa peguam, wanita itu berkata dia akan mengaku bersalah dan tidak akan mendapatkan khidmat peguam.

Sebutan pengakuan bersalahnya ditetapkan pada 18 Julai.

Dalam jawapannya di Parlimen pada 2018, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa dalam tempoh sepuluh tahun lalu, terdapat kurang 10 kes di mana ibu bapa memalsukan maklumat untuk tujuan pendaftaran Darjah 1.

Ia menambah bahawa bagi kes-kes di mana ibu bapa disabitkan dengan tuduhan itu, kanak-kanak yang sebelum ini didaftarkan di sekolah berdasarkan maklumat palsu akan dipindahkan ke sekolah lain yang mempunyai tempat kosong.

Jika sabit kesalahan memberi maklumat palsu kepada pegawai pendaftaran, wanita itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau didenda sehingga S$3,000 atau kedua-duanya.

Jika disabitkan kesalahan memberi maklumat palsu kepada pegawai awam, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita