Wanita didakwa kerana aniaya anjing, gantung pada pagar besi balkoni
Petikan gambar daripada video-video menunjukkan seorang wanita bertindak kasar dan bahkan menggantung seekor anjing pada pagar besi balkoni. (Gambar: Facebook/Tan Derrick)
Junny Lal Awn Pui, seorang warga Myanmar berusia 25 tahun, dikenakan empat tuduhan bertindak zalim ke atas haiwan di bawah Akta Haiwan dan Burung.
Dia dituduh melakukan empat perbuatan kejam di sebuah flat Fernvale pada pagi 22 Januari. Anjing yang dijaga dilaporkan mati pada hari yang sama.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Junny Lal Awn Pui secara kejam memukul seekor anjing poodle jantan berbulu coklat dikenali sebagai "Boyboy". Dia dipercayai mencengkam leher anjing itu, membuatnya tersembam ke lantai, tiga kali memukul kepalanya dengan tangan dan gulungan kertas.
Dia juga dituduh meletakkan kakinya di atas anjing berkenaan ketika sedang membalut lukanya. Ini jelas menyebabkan haiwan itu kesakitan. Junny Lal Awn bahkan dipercayai dua kali memukul kepala anjing itu dengan gulungan kertas selepas itu.
Mahkamah turut diberitahu bahawa suspek menggantung anjing poodle yang dijaga pada balkoni untuk "menjemurnya".
Junny Lal Awn Pui, yang tampil di mahkamah menerusi pautan video, berkata beliau akan mengaku bersalah atau mengaku melakukan tiga tuduhan ke atasnya.
Namun dia akan mencabar dakwaan melibatkan perbuatan menggantung anjing kerana ini sesuatu yang menurutnya, disuruh majikan.
Tertuduh tidak mempunyai seorang peguam.
Seorang pendakwa Lembaga Taman Negara memberitahu mahkamah bahawa ia akan meneruskan tiga dakwaan sementara satu lagi masih dipertimbangkan. Nparks bagaimanapun belum lagi memutuskan cadangan hukuman yang wajar buat suspek.
Kes Junny Lal Awn Pui akan kembali dibicarakan di mahkamah pada 5 September.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.