Wanita didakwa fitnah KKH, hantar cerita palsu keguguran kepada Wake Up Singapore
Ma Su Nandar Htwe, 27 tahun, seorang warga Myanmar dan Penduduk Tetap Singapura, dikenakan satu tuduhan memfitnah di bawah Kanun Keseksaan.

Gambar: Facebook/Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH)
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 27 tahun didakwa di mahkamah pada Isnin (6 Mei) kerana terlibat dalam penerbitan berita di laman berita alternatif, Wake Up Singapore yang menyebarkan cerita palsu tentang kejadian keguguran di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).
Ma Su Nandar Htwe, seorang warga Myanmar dan penduduk tetap Singapura, dikenakan satu tuduhan memfitnah di bawah Kanun Keseksaan.
Dia dituduh "membuat tuduhan" terhadap KKH pada 21 Mac 2022 yang mencadangkan hospital itu bersalah, dengan menghantar mesej Instagram kepada Wake Up Singapore yang memperincikan "cerita rekaan" tentang bagaimana dia mengalami keguguran.
Menurut kertas pertuduhan, Ma berbuat demikian dengan niat Wake Up Singapore akan menerbitkan cerita itu, kerana tahu ia akan menjejaskan reputasi KKH.
Laporan itu, yang kemudiannya diturunkan, mendakwa salah urus perkhidmatan penjagaan kesihatan KKH telah menyebabkan seorang wanita mengalami keguguran selepas beliau menunggu selama empat jam bagi rawatan COVID-19 dan sakit perut pada 28 Feb 2022.
Bertajuk "The baby is probably dead – Woman shares a harrowing account of her miscarriage at KKH A&E (Bayi itu mungkin sudah mati - Wanita berkongsi pengalaman menyedihkan tentang kegugurannya di KKH A&E), ia diterbitkan di laman web Wake Up Singapore, laman Facebook dan laman Instagram mereka, dan dikongsi secara meluas di media sosial.
Pada 25 Mac 2022, KKH membuat laporan polis berhubung artikel tersebut. Pihak hospital tidak menemui sebarang rekod mengenai pesakit yang didakwa. Siasatan polis mendapati dakwaan itu adalah tidak benar.
Pasport Ma Su Nandar Htwe telah dirampas.
Ma adalah orang kedua yang didakwa dalam kes itu.
Bulan lalu, pentadbir Wake Up Singapore, Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar, 26 tahun, turut didakwa atas tuduhan memfitnah kerana terlibat dalam penerbitan berita palsu itu.
Kes mereka akan dengar lagi pada 24 Mei.
Wake Up Singapore memohon maaf pada 25 Mac 2022 kerana menerbitkan artikel itu, selepas wanita itu mengakui dakwaannya adalah palsu.
Laman web ini menerima arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA). Ia menerbitkan notis pembetulan POFMA pada 27 Mac 2022.
Jika didapati bersalah kerana memfitnah, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.