Skip to main content

Singapura

Wanita didakwa 'beri khidmat layanan' di Sim Lim Square diuji positif COVID-19; 27 lagi disiasat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang wanita yang didakwa "memberi khidmat layanan" kepada pelanggan sebuah pusat hiburan malam di Sim Lim Square diuji positif COVID-19, menurut polis pada Jumaat (11 Feb). 

Wanita itu adalah di antara 28 orang yang disiasat kerana didakwa melanggar langkah-langkah pengurusan selamat, tambah polis. 

Pada 9 Februari sekitar 9.35 malam, pegawai polis melakukan pemeriksaan terhadap sebuah pusat hiburan malam di Sim Lim Square, dan menemui 28 orang di premis tersebut. 

Dalam kalangan mereka termasuk 10 wanita yang "dipercayai adalah pelayan warga China, Malaysia dan Vietnam," kata polis dalam satu kenyataan media. 

Wanita tersebut berusia 24 hingga 48 tahun itu didakwa bercampur gaul antara satu sama lain dan "memberi khidmat layanan" kepada pelanggan di premis tersebut, menurut polis. 

Salah seorang wanita itu diuji positif COVID-19 menggunakan ART (ujian pantas antigen). Kesemua 10 wanita itu diberkas atas kesalahan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (EFMA). 

Dua lelaki, yang berusia 34 dan 61 tahun, dikenal pasti sebagai pengendali pusat hiburan malam itu dan sedang disiasat atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Minuman Keras (Bekalan dan Pengambilan). 

Mereka juga  disiasat kerana melanggar "pelbagai" langkah kawalan COVID-19, seperti gagal mengurangkan interaksi fizikal antara kakitangan dengan pelanggan, tidak memastikan jumlah kumpulan tidak melebihi had perhimpunan sosial dan membenarkan tayangan filem serta video di premis tersebut. 

Jika didapati bersalah kerana gagal mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19, mereka boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. 

Kesalahan membekal minuman keras tanpa lesen yang sah membawa hukuman denda sehingga S$20,000. 

"Polis akan terus melakukan pemeriksaan penguatkuasaan untuk mencegah, menghalang dan mengesan kegiatan maksiat serta kegiatan haram lain," menurut mereka. 

"Orang awam dan perniagaan juga dinasihatkan untuk memandang serius langkah-langkah pengurusan selamat.

"Polis tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang melanggar peraturan dan tidak akan ragu-ragu untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang melanggar langkah-langkah pengurusan selamat." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita