Skip to main content

Singapura

Wanita didakwa atas serangan parang di gerai makan People's Park Complex

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita didakwa atas serangan parang di gerai makan People's Park Complex

Suspek diberkas kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, menurut polis. (Gambar: 8world/Esther Lee)

Diterbitkan : 21 Mar 2025 03:02PM Dikemas Kini : 21 Mar 2025 03:04PM
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 36 tahun didakwa pada Jumaat (21 Mac) atas serangan menggunakan parang di sebuah gerai makanan masak di People's Park Complex pada awal minggu ini.

He Longfeng dikenakan satu tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja terhadap seseorang dengan menggunakan parang sekitar jam 8.45 malamp ada Rabu.

Mata parang tersebut sepanjang 17 sentimeter (cm) dan pemegangnya pula sepanjang 12cm, menurut kertas mahkamah.

Rakyat China itu ditahan di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemeriksaan perubatan.

Kesnya dijadualkan untuk dibicarakan pada 4 April.

Polis sebelum ini menyatakan sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp bahawa mereka telah dimaklumkan mengenai kejadian itu pada sekitar jam 8.45 malam pada Rabu (19 Mac).

Dua lelaki, berusia 41 tahun dan 30 tahun, dibawa ke hospital dalam keadaan sedarkan diri.

Seorang lelaki berusia 42 tahun turut diperiksa oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bagi kecederaan ringan tetapi enggan dihantarkan ke hospital.

Saluran berita Cina 8World melaporkan bahawa bahagian depan gerai dan lorong berhampiran telah dikepung.

Lantai berhampiran kaunter itu berlumuran darah, manakala beg plastik, penutup bekas makanan dan barang-barang lain berselerak di lantai.

Seorang lelaki turut dilihat bersama seorang pegawai polis di dalam kedai, menunjuk ke arah kesan darah sambil berbicara.

Kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja dengan menggunakan senjata boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau sebatan rotan, atau mana-mana hukuman tersebut.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita