Skip to main content

Singapura

Wanita diberkas terbabit skim penipuan tiket konsert Taylor Swift di Carousell

Seorang wanita berusia 29 tahun diberkas pada Isnin (11 Mac) kerana disyaki terbabit dalam skim penipuan melibatkan penjualan tiket konsert Taylor Swift di Carousell.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita diberkas terbabit skim penipuan tiket konsert Taylor Swift di Carousell

Penyanyi Taylor Swift membuat persembahan di Nashville, Tenn., pada 5 Mei 2023. (Gambar fail: George Walker IV/AP)

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 29 tahun diberkas pada Isnin (11 Mac) kerana disyaki terbabit dalam skim penipuan melibatkan penjualan tiket konsert Taylor Swift di Carousell.

Bintang pop Amerika Syarikat itu sudahpun menggulung enam konsertnya yang laris dijual di Singapura.

Singapura merupakan satu-satunya tempat persinggahan di Asia Tenggara bagi konsert Eras Taylor Swift selepas agensi pemerintah berjaya memeterai perjanjian eksklusif bersama penyanyi itu.

Polis menyatakan pihaknya menerima beberapa aduan antara 3 Mac dengan 7 Mac daripada mangsa yang didakwa ditipu oleh seorang penjual yang mengiklankan tiket bagi konsert Taylor Swift di Carousell.

Penjual itu, sebaik sahaja mendapat bayaran menerusi PayNow atau pindahan wang, gagal menyerahkan tiket-tiket konsert tersebut dan tidak dapat dihubungi.

Polis mengenal pasti identiti wanita tersebut melalui siasatan susulan dan memberkasnya pada Isnin.

"Siasatan awal mendedahkan dia dipercayai terbabit dalam aduan serupa melibatkan kerugian lebih S$24,000," menurut polis.

Wanita itu akan didakwa hari ini (12 Mac) atas kesalahan menipu. Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Skim penipuan melibatkan penjualan tiket konsert menjadi tajuk utama berita dalam beberapa minggu kebelakangan ini, melibatkan bintang-bintang lain seperti Coldplay, Yoasobi, Joker Xue dan Enhypen.

Polis menyatakan pada 1 Mac lalu bahawa sekurang-kurangnya S$213,000 hilang dalam skim penipuan tiket konsert Taylor Swift sepanjang dua bulan lalu.

Lebih 330 mangsa terpedaya oleh skim penipuan sedemikian pada Januari dan Februari, menurut polis.

Bagi mengelakkan para mangsa daripada terpedaya oleh skim penipuan sedemikian, polis menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak membuat bayaran awal atau pemindahan wang secara langsung kepada akaun bank penjual.

"Jika harganya sukar untuk dipercayai, kemungkinan ia adalah tidak benar. Beli hanya daripada penjual bertauliah atau sumber diiktiraf, terutama sekali bagi barang bernilai tinggi," menurut polis.

Polis juga menggesa orang ramai supaya berjaga-jaga terhadap penipu yang mungkin mengumpan para pembeli supaya menghubungi mereka bagi mendapatkan tawaran lebih baik atau lebih cepat jika bayaran melalui pemindahan wang dibuat secara langsung kepada mereka.

"Mereka mungkin menggunakan akaun bank tempatan atau menyerahkan salinan NRIC/lesen memandu supaya anda percaya bahawa mereka adalah penjual sebenar. Jangan terpedaya olehnya," kata polis.

Sesiapa dengan maklumat berkaitan jenayah sedemikian boleh hubungi talian polis di 1800-255-0000, atau menyerahkan maklumat di pautan ini.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita