Wanita diberkas kerana tipu mangsa S$5.4 juta
Seorang wanita berusia 49 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam satu siri penipuan pelaburan emas, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (24 Mei).

(Gambar hiasan: AFP)
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 49 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam satu siri penipuan pelaburan emas, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (24 Mei).
"Siasatan awal mendapati wanita tersebut dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lima penipuan pelaburan emas yang menyebabkan para mangsa ditipu sebanyak S$5.4 juta," tambah pihak polis.
Antara Januari hingga Februari, pihak polis menerima beberapa aduan mengenai para mangsa yang dihubungi seorang wanita yang mendakwa mengendalikan syarikat yang menjual emas pada harga diskaun.
Mereka diarahkan membuat pembayaran menerusi pemindahan dana bank bernilai antara S$261,000 hingga lebih S$3.5 juta, kononnya bagi pembelian emas.
"Selepas pembayaran dibuat, wanita itu tidak memenuhi tempahan para mangsa," menurut polis lagi.
Pihak polis mengenal pasti wanita tersebut dan memberkasnya pada Rabu, manakala seorang lelaki berusia 24 tahun juga sedang membantu siasatan.
Wanita itu akan didakwa dengan tuduhan menipu pada Jumaat, menurut SPF. Jika didapati bersalah, wanita itu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.