Skip to main content

Singapura

Wanita diberkas curi baucar barangan dapur Belanjawan 2020 dari peti surat

 Seorang wanita berusia 37 tahun diberkas selepas baucar barangan dapur Belanjawan 2020 dicuri daripada peti-peti surat di sebuah blok perumahan di Toa Payoh, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF). 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita diberkas curi baucar barangan dapur Belanjawan 2020 dari peti surat

SingPost menyatakan ia mendapati pintu beberapa peti surat ditinggalkan dalam keadaan terbuka. (Gambar: SingPost)

Diterbitkan : 14 Oct 2020 06:53PM Dikemas Kini : 14 Oct 2020 06:55PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 37 tahun diberkas selepas baucar barangan dapur Belanjawan 2020 dicuri daripada peti-peti surat di sebuah blok perumahan di Toa Payoh, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Polis menggesa orang ramai supaya mengambil baucar-baucar mereka "secepat mungkin" ekoran insiden-insiden serupa di tempat-tempat lain.

Polis menyatakan ia dimaklumkan pada Ahad lalu mengenai seorang individu yang mengungkil peti surat di sebuah blok di Lorong 7 Toa Payoh.

Menerusi siasatan dan dengan bantuan gambar-gambar daripada kamera polis, pihak berkuasa menangkap wanita tersebut pada hari yang sama, juga di Lorong 7 Toa Payoh.

“Siasatan awal mendedahkan wanita itu dipercayai mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 daripada peti-peti surat yang bukan kepunyaannya," menurut SPF dalam kenyataan media pada Selasa (13 Okt) sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.

Sehari kemudian, dalam satu catatan Facebook, polis menambah ia juga menerima aduan mengenai insiden serupa di beberapa kawasan kediaman lain dan juga sedang menyiasat kes-kes itu.

Secara berasingan, menurut kenyataan oleh SingPost, ia sudahpun dimaklumkan pada pagi Selasa bahawa beberapa peti surat di Redhill "dibuka secara paksa".

Blok-blok terjejas adalah:

- Blok 55, 56, 57, 58 dan 59, Lengkok Bahru

- Blok 71 dan 72, Redhill Road

- Blok 89 dan 90, Redhill Close

“Pasukan tindak balas kecemasan segera dikerahkan dan mendapati bahawa beberapa peti surat dibiarkan terbuka," kata Encik Robin Goh, Ketua Jenama dan Perhubungan Kumpulan SingPost.

“Pintu utama kesemua sembilan sarang peti surat terkunci dan selamat. Setelah diperiksa dengan lebih rapi, terdapat kesan calar, lekuk dan tanda-tanda gangguan lain di peti surat berkenaan.

“Kami sudahpun mengesahkan melalui pemeriksaan dalaman bahawa perbuatan merosakkan harta benda awam dan pencurian sudah berlaku selepas posmen kami meninggalkan kawasan itu pada 1.00 tengah hari 12 Oktober 2020," kata Encik Goh.

Related article image
Baucar barangan dapur yang dicuri dari peti surat di sebuah blok kediaman di Toa Payoh. (Gambar: SPF/Facebook)

(Gambar: SPF/Facebook)

Beliau menambah kakitangan SingPost sejak itu sudahpun menyimpan semua surat di dalam peti surat yang diumpil dan akan secara peribadi menghantarnya ke pintu rumah penduduk yang terjejas.

“Kami juga sedang berhubungan dengan polis dan akan menghulurkan bantuan sepenuhnya bagi siasatan pihak berkuasa."

SPF menasihati mereka yang layak bagi baucar barangan dapur itu untuk mengambilnya "secepat mungkin" dan memastikan peti surat terkunci pada setiap masa.

“Jika anda mengesyaki baucar anda dicuri, sila buat aduan dengan segera dan menghubungi talian Baucar Barangan Dapur di 1800-2222-888 untuk meminta baucar anda dibatalkan dan digantikan. Baucar yang dibatalkan tidak boleh ditebus," menurut SPF.

Ia menambah orang ramai seharusnya segera menghubungi polis jika mereka ternampak seseorang yang mencurigakan berlegar-legar berhampiran peti surat.

Pencurian membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita