Skip to main content

Singapura

Wanita dan kanak-kanak dikurung di balkoni MBS semasa rompakan; 3 diberkas selepas penerbangan ke Shanghai dipanggil balik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tiga lelaki ditangkap selepas mereka didakwa merompak seorang wanita dan mengurung beliau bersama anaknya di sebuah balkoni di Marina Bay Sands (MBS).

Pihak polis berkata pada Selasa (2 Jun) bahawa mereka dimaklumkan pada kira-kira pukul 7.00 petang sehari sebelumnya mengenai satu kes rompakan yang menyebabkan kecederaan di Bayfront Avenue.

Menurut siasatan awal, seorang wanita berusia 45 tahun melawat kawasan itu selepas bersetuju untuk menukar wang tunai bernilai S$50,000 dengan mata wang asing melalui seseorang yang dihubunginya di platform pemesejan.

Orang itu, yang mendakwa menawarkan perkhidmatan menukar mata wang asing, mengarahkan mangsa membawa wang tunai ke sana dan berkata jumlah yang ditukar akan dimasukkan ke dalam dompet elektroniknya.

Mangsa, yang ditemani oleh anaknya, bertemu seorang lelaki berhampiran Bayfront Avenue dan dibawa ke sebuah bilik hotel, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan.

Seorang lagi lelaki sedang menunggu di dalam bilik air bilik berkenaan, tambah mereka.

Mediacorp difahamkan bahawa hotel itu adalah MBS.

Apabila wanita itu mengeluarkan wang tunainya, salah seorang lelaki itu didakwa mencekik lehernya dan menuntut supaya beliau menyerahkan wang tersebut, menurut polis.

"Mangsa dan anaknya kemudian dikurung di balkoni bilik itu dan mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu," tambah mereka.

Pihak polis berjaya mengenal pasti identiti ketiga-tiga lelaki itu dalam masa empat jam selepas kejadian itu dilaporkan, dan mendapati mereka sudah menaiki pesawat yang dalam perjalanan ke Shanghai di Lapangan Terbang Changi.

Pesawat itu dipanggil balik ke pintu masuk, dan lelaki-lelaki itu ditangkap.

Wang tunai berjumlah kira-kira S$50,000 ditemui dan dirampas daripada mereka, menurut polis.
Related article image
Wang tunai yang dirampas selepas rompakan yang didakwa berlaku di Marina Bay Sands pada 1 Jun 2026. (Gambar: SPF)
Ketiga-tiga warga China itu, yang berusia antara 29 dan 34 tahun, akan didakwa pada Rabu atas tuduhan melakukan rompakan dengan menyebabkan kecederaan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta disebat sekurang-kurangnya 12 kali.

SPF menasihati mereka yang menghadapi situasi sedemikian supaya kekal tenang, mengingati penampilan fizikal dan ciri-ciri tersendiri pelaku serta menghubungi polis secepat mungkin.

"Orang ramai juga dinasihati supaya berhati-hati apabila terlibat dalam urusan menukar mata wang dengan pihak yang tidak dikenali, terutamanya yang dijalankan melalui media sosial atau platform pemesejan, dan sentiasa menggunakan pengurup wang berlesen untuk urus niaga sedemikian," tambah mereka.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita