Wanita cedera diserang babi hutan dekat kondo Punggol
Seorang wanita berusia 30-an tahun dikejarkan ke hospital selepas diserang seekor babi hutan di Punggol.

Petikan gambar video yang menunjukkan seekor babi hutan di kondominium eksekutif Waterbay yang terletak di Punggol. (Gambar: pembaca Channel 8)
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 30-an tahun dikejarkan ke hospital selepas diserang seekor babi hutan di Punggol.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menjawab panggilan bantuan kecemasan pada 5.15 petang semalam (28 Ogos) di 51 Edgefield Plains, berdekatan kondominium Waterbay.
Wanita itu diserang babi hutan berkenaan di luar kondominium eksekutif tersebut. Haiwan itu kemudian lari ke dalam tempat kumpul sampah kondominium, menurut para saksi yang berada di tempat kejadian.
Gambar seorang wanita yang kakinya luka dan berlumuran darah juga tular di platform-platform media sosial.

Persatuan Pendidikan dan Kajian Keprihatinan Haiwan (ACRES) menyatakan bahawa ia dimaklumkan tentang kejadian itu pada sekitar 5.00 petang.
"Kami difahamkan satu insiden berlaku antara babi hutan dengan wanita terbabit tetapi malangnya kami tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut," kata Timbalan Pengarah Eksekutif Kalai Vanan. "Setahu kami, haiwan itu kemudian memasuki pekarangan kondominium."
Haiwan itu selanjutnya diberi sedatif dan dipindahkan. Encik Kalai Vanan menambah, haiwan tersebut mungkin dari kawasan Lorong Halus.
"Kerja-kerja pembangunan di daerah itu mungkin menyebabkan haiwan tersebut untuk keluar dari kawasannya sebelum mendapati ia sesat dalam kawasan perumahan itu," katanya.
"Ia juga mungkin keluar dari kawasannya kerana diberi makanan oleh orang ramai."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.