Wanita berkali-kali dilihat tanpa pelitup dihukum penjara 16 minggu
Seorang wanita berusia 54 tahun yang dirakam tidak memakai pelitup di Marina Bay Sands dan beberapa tempat awam lain dijatuhkan hukuman penjara 16 minggu. Phoon Chiu Yoke hari ini (6 Sep) mengaku bersalah atas sembilan dakwaan melanggar peraturan COVID-19.
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 54 tahun yang dirakam tidak memakai pelitup di Marina Bay Sands dan beberapa tempat awam lain dijatuhkan hukuman penjara 16 minggu.
Phoon Chiu Yoke hari ini (6 Sep) mengaku bersalah atas sembilan dakwaan melanggar peraturan COVID-19.
Phoon pertama kali mendapat sorotan berita pada Mei, setelah satu video online menjadi tular menunjukkannya bertekak dengan duta jarak selamat di Marina Bay Sands kerana tidak memakai pelitup.
Dia awalnya berdepan dengan 22 dakwaan, termasuk satu kerana tidak memakai pelitup di luar Mahkamah Negara pada Mei, di mana dia dirakam melakukan demikian oleh anggota media.
Timbalan Pendakwa Raya Heershan Kaur berkata bahawa tertuduh telah meninggalkan bilik hotelnya tanpa memakai pelitup di Marina Bay Sands berkali-kali ketika masih menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) setelah pulang dari Britain pada Jun tahun lalu.
Mahkamah juga diberitahu bahawa Phoon - yang hadir di mahkamah melalui persidangan video ketika ditahan reman - telah mengunjungi kedai makan dan menghadiri perhimpunan gereja di Saint Andrew’s Cathedral dengan tidak memakai pelitup. Ini antara sebahagian daripada kejadian di mana dia melanggar peraturan COVID-19.
Lagi 13 dakwaan diambil pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman.
Pihak pendakwa menuntut tempoh penjara antara 17 hingga 22 minggu, sementara peguam bela Phoon, Amos Cai memohon hukuman denda untuk anak guamnya.
Phoon ditahan sejak 24 Jul, sebulan setelah dia ditemui tidak memakai pelitup di Mandarin Orchard pada 25 Jun, sementara dia diikat jamin atas beberapa tuduhan serupa.
Dia didakwa sebulan kemudian dan direman apabila jaminan S$12,000 ditarik balik.
Phoon pertama kali didakwa pada Disember tahun lalu setelah dikatakan gagal memakai pelitup menutupi hidung dan mulutnya di pusat penjaja Newton pada 8 Mei 2020, dalam tempoh "pemutus rantaian jangkitan" Singapura.
Semasa perbicaraan sebelum ini, Phoon menggesa pihak pendakwa menggugurkan tuduhan terhadapnya atas kesalahan prosedur, dengan mendakwa dia adalah "bekas pegawai tentera laut yang profesional."
Dia direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi penilaian psikiatri. Namun perincian laporannya tidak diberikan di mahkamah terbuka.
Phoon akan mula menjalani hukumannya dengan mengambil kira tempoh semasa ditahan reman.
Atas setiap tuduhan melanggar perintah kawalan COVID-19, Phoon boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda hingga S$10,000, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.