Skip to main content

Singapura

Wanita 'berdaulat' ditahan reman di IMH; hadapi 4 dakwaan

Seorang wanita 40 tahun yang menjadi tumpuan umum kerana mendakwa dirinya sebagai "berdaulat" dan terlepas dari undang-undang, didakwa di sebuah mahkamah daerah pada Selasa (5 Mei) kerana menyebabkan gangguan awam dan melanggar langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 'berdaulat' ditahan reman di IMH; hadapi 4 dakwaan

(Gambar: Media sosial)

Diterbitkan : 05 May 2020 05:11PM Dikemas Kini : 05 May 2020 05:15PM

SINGAPURA: Seorang wanita 40 tahun yang menjadi tumpuan umum kerana mendakwa dirinya sebagai "berdaulat" dan terlepas dari undang-undang, didakwa di sebuah mahkamah daerah pada Selasa (5 Mei) kerana menyebabkan gangguan awam dan melanggar langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan.

Paramjeet Kaur, seorang warga Singapura, menghadapi tiga tuduhan di bawah Peraturan COVID-19 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020 dan satu dakwaan gangguan awam.

Dia ditahan pada sekitar 9.00 malam pada Isnin dan tampil di mahkamah menerusi pautan video dari ibu pejabat Divisyen Polis Pusat dengan pelitup mukanya ditarik ke bawah untuk menunjukkan hidung dan mulutnya.

Dia telah direman di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Dia dituduh:

  • Meninggalkan rumahnya untuk makan di depan sebuah gerai makan di Shunfu Mart pada 14 April
  • Tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebanyak dua kali - 30 April dan 3 Mei
  • Menjerit dengan kuat dan membuat kacau di Shunfu Mart pada 3 Mei

Polis sebelum ini mengatakan bahawa dia sedang disiasat kerana menyerang seorang wanita berusia 47 tahun, yang telah menasihatinya untuk memakai pelitup. Namun ini tidak ada kena-mengena dengan sebarang dakwaan pada Selasa.

Peguam wanita itu, Encik Satwant Singh, memberitahu mahkamah bahawa ibunya telah melantiknya untuk mewakili Paramjeet.

Paramjeet kemudian berkata: “Saya hanya ingin mengatakan sesuatu. Saya seorang wanita yang masih hidup dan itu satu-satunya keupayaan saya dalam perkara ini. Saya melanjutkan kekebalan berdaulat saya kepada Satwant dan saya meminta Satwant untuk mewakili saya. "

Sedang seorang pendakwa polis meminta dia dihantar ke IMH selama dua minggu untuk pemerhatian psikiatri, Encik Singh bekata Paramjeet "mempunyai haknya sendiri" dan meminta untuk berbicara dengannya untuk menjelaskan undang-undang.

Setelah mahkamah berehat sebentar, peguam mengatakan bahawa beliau sudah membaca laporan pegawai penyiasat.

Laporan itu menyatakan bahawa Paramjeet telah mendakwa dia "bukan orang" dan mahu "dirujuk sebagai 'thou', 'thy', 'thee'" (kata ganti diri agung).

Encik Singh juga mengambil perhatian bahawa beberapa saksi menyifatkan anak guamnya sebagai "gila" namun itu tidak bermaksud dia menderita masalah kesihatan mental.

Dia tidak mempunyai sejarah yang diketahui di IMH, tambah peguam itu.

Pendakwa polis menjawab: "Kami tidak pasti apakah tertuduh saat ini sesuai untuk dihadapkan di mahkamah ... ini akan berpihak bukan hanya kepada pihak pendakwaan tetapi juga peguam. Sekiranya peguam ingin berbicara dengannya, beliau boleh melakukan demikian setelah tempoh reman di IMH. "

"Adakah pegawai penyiasat menganggap saya cukup waras ketika beliau membacakan tuduhan kepada saya?" Paramjeet bertanya, mengulangi bahawa dia "meluaskan kekebalannya" kepada Encik Singh.

Hakim Daerah Clement Tan tidak setuju bahawa akan ada prasangka terhadap Paramjeet jika dia direman di IMH dan mengarahkan dia untuk dihantar ke sana.

Paramjeet akan dihadapkan lagi ke mahkamah pada 19 Mei.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita