Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita Belarus ini seronok pertama kali sambut Raya di S'pura, bersama keluarga mertua

Lebaran tahun ini berlainan sedikit bagi Cik Maimunah Abdul Rahman kerana dapat meraikan lebaran bersama menantunya, Cik Darya Talkanitsa.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebaran tahun ini berlainan sedikit bagi Cik Maimunah Abdul Rahman kerana dapat meraikan lebaran bersama menantunya, Cik Darya Talkanitsa.

Ini merupakan kali pertama warga Belarus itu dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mertuanya di Singapura.

Sejak berkahwin, Cik Darya dan suaminya, Encik Musa Ansari, bermastautin di Doha, Qatar selama hampir empat tahun.

"Saya ada menyambut Aidilfitri ketika di Doha namun di Singapura ia terasa lebih berbeza dan lebih meriah.

"Saya gembira dapat bantu hias dan bersihkan rumah, jadi pasti saya tidak sabar berjumpa dengan ahli keluarga yang lain dan pakai baju kurung," kata Cik Darya, 32 tahun.

Lebih istimewa lagi, kali ini Cik Darya disertai ibu bapanya dari Belarus untuk menyambut Hari Raya dengan tradisi Melayu.

Meskipun pertama kali menyambut Hari Raya di Singapura, Cik Darya tidak canggung membantu keluarga mertuanya dalam membuat persiapan.

Malah kata Cik Darya, beliau selesa menyambut Hari Raya bersama keluarga mertuanya kerana sikap mereka yang mesra terhadapnya, antara yang diterap dalam budaya Melayu.

"Budaya Melayu ini sangat istimewa. Ia sangat menitikberatkan keluarga dan saling menghormati terutama sekali terhadap warga emas. Ahli keluarga mertua saya juga sangat mesra kepada saya," kata Cik Darya.

Di bawah tunjuk ajar ibu mertuanya, beliau sedikit sebanyak dapat menghayati budaya Melayu juga.

Ini termasuk mempelajari cara-cara menganyam ketupat dan memasak juadah Hari Raya.

Bagi Cik Maimunah pula, beliau rasa seronok berkongsi tradisi dan warisan Melayu dengan menantu-menantunya yang bukan Melayu.

Seorang lagi menantunya, berketurunan Cina.

"Masakan Hari Raya kita lain daripada biasa jadi saya ajar dia apa-apa yang dia hendak belajar saya boleh ajar.

"Ini ada ketupat juga, kita buat ketupat untuk Hari Raya. Kalau boleh ini tidak dilupakan, untuk kenangan, kalau tidak ada ketupat, tidak beraya kita," kata Cik Maimunah, 72 tahun.

Justeru, Hari Raya yang tiba bukan sahaja menyatukan ikatan kekeluargaan malah peluang untuk melestarikan budaya Melayu kita sendiri.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan