Wanita bantu siasatan polis selepas budak 3 tahun dirakam berdiri di belebas tingkap flat HDB
Seorang wanita berusia 25 tahun sedang membantu siasatan terhadap kes cuai selepas seorang kanak-kanak dilihat berdiri di belebas tingkap sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Sembawang pada Ahad (20 Okt).
(Gambar: Facebook/Nela M Hock)
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Isnin (21 Okt), polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan mereka menerima panggilan meminta bantuan pada kira-kira pukul 11.50 pagi Ahad di Blok 350C Canberra Road.
Menurut polis, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dilihat berdiri di belebas tingkap. Dia kemudian dibawa masuk oleh orang awam sebelum polis tiba di tempat kejadian.
Dalam satu video yang tular, budak itu dilihat berdiri di belebas tingkap di tingkat tiga sebuah blok HDB.
Beberapa orang awam juga dilihat berada di bawah blok berkenaan dengan penuh kebimbangan. Seorang lelaki kemudian dirakam memanjat ke belebas itu untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
Beberapa orang di bawah blok berkenaan turut dilihat siap memegang selimut untuk menyelamatkan budak itu seandainya dia terjatuh.
Lelaki tersebut kemudian dilihat mendukung dan membawa masuk kanak-kanak itu ke dalam rumahnya melalui tingkap yang terbuka.
Menurut pengguna Facebook Nela M Hock, yang memuat naik rakaman video kejadian tersebut, beberapa orang cuba mengetuk pintu rumah budak lelaki itu beberapa kali namun tiada sesiapa yang menjawab.
Beliau menambah bahawa lelaki yang membawa masuk kanak-kanak itu ke dalam flatnya mendapati ada orang dewasa di dalam rumah tersebut.
Menurut SCDF, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK sebagai langkah berjaga-jaga.
"Seorang wanita berusia 25 tahun sedang membantu dalam siasatan terhadap kes bertindak cuai," kata polis.
Siasatan masih dijalankan.
SCDF menyatakan ia telah menghubungi mereka yang menghulurkan bantuan semasa kejadian itu untuk mengiktiraf mereka atas semangat kemasyarakatan yang ditonjolkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.