Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita alami kegagalan jantung setelah makan produk langsing

Seorang wanita kini menderita kegagalan jantung teruk setelah mengambil produk bagi menurunkan berat badan yang mengandungi bahan terlarang tidak diisytiharkan. Demikian menurut Penguasa Sains Kesihatan, HSA, pada Isnin (3 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita alami kegagalan jantung setelah makan produk langsing

(Ikut putaran jam dari kiri) BB Body, Bello Smaze, Choco Fit dan Seahorse Chop Du Zhong Ba Ji menyebabkan tindak balas negatif yang serius kepada para pengguna. (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 03 Jun 2019 01:11PM Dikemas Kini : 03 Jun 2019 08:27PM

SINGAPURA: Seorang wanita kini menderita kegagalan jantung teruk setelah mengambil produk bagi menurunkan berat badan yang mengandungi bahan terlarang tidak diisytiharkan. Demikian menurut Penguasa Sains Kesihatan, HSA, pada Isnin (3 Jun).

Produk tersebut, yang dipasarkan sebagai BB Body, adalah satu daripada empat produk yang menyebabakan "kesan sampingan serius" kepada para pengguna. HSA menasihati orang awam supaya tidak membeli atau mengambil produk-produk tersebut.

Produk-produk lain terbabit adalah Bellow Smaze dan Choco Fit. Kedua-duanya dipasarkan sebagai produk bagi menurunkan berat badan. Satu lagi produk adalah Seahorse Chop Du Zhong Ba Ji Wan yang mengandungi bahan steroid kuat.

HSA menyatakan: "Produk-produk itu diuji oleh HSA sebagai mengandungi bahan-bahan perubatan kuat yang tidak diisytiharkan termasuk satu bahan terlarang bagi penurunan berat badan dan steroid kuat."

Seorang wanita dalam lingkungan usia 50-an tahun membeli BB Body daripada penjual online yang berpangkalan di Malaysia setelah terbaca mengenai produk tersebut di Instagram.

Setelah mengambilnya selama tiga bulan, wanita berkenaan mengalami kadar degupan jantung yang amat kencang dan keadaan itu disifatkan sebagai takikardia ventrikel. Keadaan itu menyebabkan beliau tidak sedarkan diri dan memerlukan pemulihan pernafasan untuk menyelamatkan nyawanya.

Menurut HSA, wanita itu kini mengalami kegagalan jantung yang teruk dan sebuah alat untuk mengembalikan degupan jantung dipasang dalam tubuhnya. Beliau juga memerlukan perubatan jangka panjang bagi merawat kegagalan jantungnya.

Seorang lagi wanita berusia 20-an tahun mengalami denyutan jantung yang cepat, keadaan sukar tidur dan kemudian mempunyai pemikiran untuk mengakhiri hidup setelah mengambil Bello Smaze selama empat hari.

Beliau membeli produk tersebut daripada seorang penjual tempatan untuk menurunkan berat badan. Wanita itu berkata produk itu disyorkan kepada beliau oleh rakannya yang juga mengalami denyutan jantung kencang serta insomnia.

Secara berasingan, seorang lagi wanita dalam usia 30-an juga mengalami denyutan jantung kencang setelah mengambil Choco Fit selama dua hari.

BAHAN SIBUTRAMINA BOLEH BAWA RISIKO SERANGAN JANTUNG, ANGIN AHMAR

Pihak berkuasa tersebut menyatakan: "Kesan sampingan tidak diingini dialami oleh para pengguna ini adalah konsisten dengan kesan daripada sibutramina yang dikesan di dalam tiga produk itu.

"Sibutramina sebelum ini merupakan ubat preskripsi tetapi diharamkan oleh HSA pada 2010 disebabkan oleh peningkatan risiko serangan jantung dan angin ahmar serta kesan buruk lain yang serius."

Kesemua tiga produk itu dipasarkan di pelbagai laman e-dagang dan wadah media sosial termasuk Instagram dan Facebook. Produk-produk itu juga dipasarkan sebagai mempunyai "tiada kesan sampingan" atau boleh mencapai penurunan berat badan dengan cepat dalam tempoh beberapa hari sahaja.

HSA menyatakan ia sudahpun mengarahkan para pentadbir wadah-wadah online setempat itu untuk menurunkan produk terjejas daripada senarai jualan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan