Wanita 88 tahun terkait kelompok TTSH meninggal akibat COVID-19; pelajar Sekolah Menengah Edgefield diuji positif virus
Seorang wanita Singapura berusia 88 tahun, dari kelompok jangkitan COVID-19 di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) meninggal dunia pada Sabtu (1 Mei) akibat komplikasi yang berpunca daripada jangkitan itu.

Ambulans kelihatan di unit A&E di Hospital Tan Tock Seng pada 30 Apr 2021. (Gambar: Calvin Oh)
SINGAPURA: Seorang wanita Singapura berusia 88 tahun, dari kelompok jangkitan COVID-19 di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) meninggal dunia pada Sabtu (1 Mei) akibat komplikasi yang berpunca daripada jangkitan itu.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Singapura akibat koronavirus kepada 31 orang.
Dalam kemas kininya pada sebelah malam, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan wanita itu dimasukkan ke Wad 9D TTSH dari 14 Apr dan disahkan menghidap COVID-19 pada 28 Apr.
Beliau mempunyai sejarah barah, tekanan darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar dan hiperlipidaemia (darah yang mengandungi banyak lemak).
"Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit sudah menghubungi keluarganya dan memberikan pertolongan kepada mereka," kata MOH.
KES JANGKITAN TEMPATAN
Sementara itu, MOH melaporkan terdapat sembilan jangkitan tempatan dalam kalangan 34 kes baru COVID-19 yang dicatatkan di Singapura sehingga tengah hari Sabtu.
Tujuh daripada kes tempatan itu melibatkan jangkitan dalam masyarakat.
Tiga daripadanya berkait dengan Kes 62541, jururawat Filipina, 46 tahun. Mereka dikesan menerusi ujian proaktif ke atas pesakit dan kakitangan di TTSH.
Semua kes tersebut merupakan warga emas berusia 70 tahun dan ke atas.
Kes pertama yang dikaitkan dengan kelompok itu ialah wanita Singapura, 86 tahun. Suami beliau dimasukkan ke hospital dari 20 Apr hingga 22 Apr di Wad 9D, di mana Kes 62541 bertugas.
Beliau mendapatkan rawatan perubatan bagi keadaan yang tidak berkaitan di Hospital Khoo Teck Puat pada 30 Apr dan didapati mengalami demam.
Wanita itu diuji bagi virus COVID-19 dan hasil ujiannya positif pada hari yang sama. Hasil ujian serologinya masih lagi dinantikan.
Kes kedua melibatkan lelaki Singapura 70 tahun yang dimasukkan ke Wad 9D pada 22 Apr.
Beliau diuji negatif COVID-19 pada 28 Apr sebagai sebahagian daripada proses ujian ke atas kakitangan dan pesakit yang pernah berada di wad terjejas.
Lelaki itu dipindahkan ke NCID pada 28 Apr.
Pada 30 Apr, beliau mengalami demam selesema dan sukar bernafas dan menjalani ujian sekali lagi. Hasil ujiannya positif COVID-19 manakala keputusan serologinya negatif, menunjukkan ia mungkin jangkitan baru.
Kes ketiga berkait kelompok jangkitan di TTSH merupakan wanita Singapura, 74 tahun. Beliau dimasukkan di Wad 9D dari 23 Apr hingga 27 Apr. Wanita itu dikenakan kuarantin pada 29 Apr dan diuji bagi COVID-19 pada 30 Apr semasa dalam tempoh kuarantin.
Hasil ujiannya positif COVID-19 pada 1 Mei dan beliau dibawa ke NCID menggunakan ambulans. Hasil ujian serologinya masih dinantikan.
Terdapat 16 kes berkait dengan kelompok TTSH sekarang ini.
KES MASYARAKAT LAIN
Empat lagi kes masyarakat tidak berhubung kait.
Salah seorang melibatkan siswa di Universiti Pengurusn Singapura (SMU). Penduduk Tetap berusia 19 tahun itu mengikuti kelas secara maya kecuali pada 21 Apr apabila beliau mengunjungi universiti itu.
Remaja itu tiba dari India pada 28 Dis lalu dan menjalani notis jangan keluar rumah di kemudahan yang dikhususkan.
Semasa menjalani SHN, beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 58784 semasa dalam penerbangan ke Singapura dan dikuarantin dari 29 Dis 2020 hingga 11 Jan 2021.
Ujian swab yang dilakukan pada 8 Jan kembali negatif COVID-19.
Beliau tidak bergejala dan dikesan apabila menjalani ujian COVID-19 sebelum berangkat pada 28 Apr sebagai persiapan untuk perjalanannya.
Keputusan ujiannya positif pada keesokan hari dan beliau dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) dengan menaiki ambulans.
Satu lagi kes dalam masyarakat yang tidak ada kaitan melibatkan seorang warga Malaysia berusia 22 tahun yang bekerja sebagai ahli terapi spa di Spa 9 yang terletak di 41 Holland Drive.
Beliau mengalami selesema pada 28 Apr dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik GP di mana beliau diuji bagi COVID-19. Keputusannya positif pada keesokan hari.
Keputusan ujian serologi beliau kembali negatif.
Kes ketiga dalam masyarakat yang tiada kaitan merupakan Penduduk Tetap (PR) Singapura berusia 50 tahun yang bertugas sebagai pengurus di DIC Asia Pacific, yang terletak di 78 Shenton Way.
Beliau hanya pergi ke tempat kerja pada 26 dan 27 April pada bulan lalu.
Wanita itu berada di Jepun dari 13 Mac hingga 9 Apr dan menjalani SHN setibanya di Singapura di sebuah kemudahan khas sehingga 23 Apr.
Beliau menjalani ujian swab pada 22 Apr ketika tempoh SHN dan didapati negatif COVID-19.
Beliau mengalami sengal-sengal badan pada 27 Apr serta demam pada keesokan harinya dan kemudian mendapatkan rawatan perubatan di klinik GP pada 29 Apr di mana beliau diuji bagi COVID-19.
Hasil ujian beliau kembali positif pada keesokan harinya dan beliau dihantar ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dengan menaiki ambulans.
Hasil ujian serologinya kembali negatif.
Kes keempat yang tiada kaitan adalah seorang pelajar 15 tahun dari Sekolah Menengah Edgefield. Dia kali terakhir berada di sekolah pada 29 Apr.
Baki dua kes jangkitan tempatan pula melibatkan penghuni di dormitori Pasir Panjang Residence yang terletak di 33 Harbour Drive.
Kedua-dua individu itu sudahpun menerima dua dos vaksin COVID-19.
Salah satu kes dormitori itu adalah warganegara Myanmar berusia 35 tahun. Beliau adalah pemegang permit kerja yang tiba di Singapura pada Januari 2020.
Beliau bekerja di Terminal Pasir Panjang dan Terminal Brani.
Seorang lagi adalah warganegara India berusia 23 tahun. Beliau adalah pemegang permit kerja yang tiba di Singapura pada Disember 2020 dan bekerja di Terminal Pasir Panjang.
KES IMPORT
Sebanyak 25 kes import dilaporkan dan semua diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura, menurut MOH.
Daripada kes import itu, lima melibatkan rakyat Singapura dan empat merupakan PR Singapura yang pulang dari Hong Kong, India, Indonesia, Filipina, UK dan Amerika Syarikat.
Lima adalah pemegang pas tanggungan dan empat adalah pemegang pas kerja - kesemuanya tiba dari India dan Nepal.
Empat adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Indonesia dan Filipina, semuanya adalah pembantu rumah hijrahan.
Dua adalah pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Filipina. Salah seorangnya tiba untuk mengunjungi ahli keluarga yang merupakan warga Singapura, dan yang lain ada di sini untuk projek kerja.
Baki kes import adalah pemegang pas khas yang merupakan anak kapal. Beliau tiba dari India dan terus berada di dalam kapal sehingga dibawa ke hospital.
MOH menyatakan 14 lagi pesakit COVID-19 sudahpun dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhannya,
60,765 pesakit sudah sembuh daripada jangkitan itu.
Kini terdapat 111 kes disahkan positif yang berada di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih dan tiada kes dirawat di unit jagaan rapi (ICU).
Lagi 272 kes diasingkan dan dirawat di kemudahan-kemudahan masyarakat. Mereka mengalami simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19.
Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat kepada 37 pada minggu lalu daripada 11 pada minggu sebelumnya. Kes-kes yang tiada akitan dalam masyarakat juga meningkat kepada 10 pada minggu lalu daripada empat pada minggu sebelumnya.
KELOMPOK TTSH
Kelompok TTSH adalah kelompok jangkitan pertama di hospital dan buat masa ini yang terbesar di negara ini.
Sebanyak empat wad hospital ditutup meningkat daripada dua wad pada Khamis lalu.
Ini bermakna tidak akan ada sebarang pergerakan keluar dan masuk ke wad-wad berkenaan melainkan bagi ujian penting, menurut CEO hospital Dr Eugene Soh di satu sidang media oleh pasukan bertindak berbilang kementerian pada Jumaat lalu.
Kini terdapat 1,100 pesakit dan 4,500 anggota kakitangan yang bekerja di wad-wad hospital utama - kesemuanya akan menjalani ujian swab, kata Dr Soh.
Pelawat tidak dibenarkan di hospital itu kecuali berdasarkan kes untuk pesakit yang benar-benar sakit.
Setakat Sabtu, Singapura mencatatkan 61,179 kes COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.