Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 82 tahun yang maut setelah dilanggar teksi alami demensia: Koroner

Seorang wanita berusia 82 tahun yang meninggal dunia setelah dilanggar sebuah teksi di lebuh raya, mengalami demensia ringan dan kemungkinan terlupa tempat tujuannya, kata seorang koroner dalam dapatan yang didedahkan pada minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 82 tahun yang maut setelah dilanggar teksi alami demensia: Koroner

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 25 May 2021 12:55PM Dikemas Kini : 25 May 2021 12:58PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 82 tahun yang meninggal dunia setelah dilanggar sebuah teksi di lebuh raya, mengalami demensia ringan dan kemungkinan terlupa tempat tujuannya, kata seorang koroner dalam dapatan yang didedahkan pada minggu ini.

Cik Janet Yong Fui Meng secara tiba-tiba berjalan ke lorong ketiga Ekspreswe East Coast Parkway (ECP) pada kira-kira pukul 9.00 pagi pada 19 November tahun lalu.

Seorang pemandu teksi yang berada di ekspreswe itu menghala ke Ekspreswe Marina Coastal tidak sempat menghentikan kenderaannya lalu melanggar Cik Yong.

Beliau berkata bahawa beliau tidak melihat sebarang pejalan kaki dan tidak menjangkakan sebarang pejalan kaki akan muncul di ekspreswe berkenaan.

Pemandu itu juga berkata bahawa beliau terdengar bunyi hentakan pada bahagian kiri teksi beliau dan mendapati bahawa cermin depan bahagian depan teksinya tertanggal. Pemandu teksi itu menyangka beliau terlanggar beberapa ranting pokok, lalu berhenti di tepi jalan raya dan melihat Cik Yong terbaring di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedar dengan darah berlumuran daripada kepalanya.

Pemandu teksi itu menunggu sehingga polis tiba di tempat kejadian.

Cik Yong dibawa ke Hospital Besar Changi dalam keadaan tidak sedar dengan kecederaan serius. Beliau tidak memberi respons kepada percubaan menyedarkannya semula dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 10.00 malam pada hari yang sama.

Satu bedah siasat mengesahkan punca kematiannya sebagai berbilang kecederaan yang dialami dalam kemalangan jalan raya. Beberapa ubat-ubatan termasuk citalopram yang digunakan bagi kemurungan serius ditemui dalam sampel darahnya.

Anak perempuan Cik Yong berkata ibunya baru berpindah ke flatnya di Tampines pada 14 Nov 2020 setelah Cik Yong menjual flatnya di Clementi yang dihuninya selama 40 tahun.

Cik Yong menghidap beberapa penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi dan anak perempuannya mendapat tahu daripada doktor pada Julai 2020 bahawa Cik Yong menghidap demensia sederhana lalu diberikan ubat anti kemurungan.

Pada petang 19 Nov 2020, Cik Yong keluar membeli hadiah Krismas di Tampines Central bersama anak perempuannya. Sebelum pukul 6.00 petang, anak perempuannya melihat Cik Yong berjalan keluar dari flat mereka dengan beg di tangannya.

Beliau bertanya kepada ibunya ke mana beliau ingin pergi, namun Cik Yong tidak menjawab. Anak perempuannya lalu menganggap ibunya ingin keluar berjalan-jalan atau membeli makan malam.

Menurut anak perempuannya lagi, Cik Yong agak berdikari dan akan sering keluar sendirian dan menggunakan kad EZ-Link untuk menaiki pengangkutan awam. Namun, beliau tidak membawa telefon bimbit kerana beliau tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya.

Anak perempuan Cik Yong berkata ibunya tidak menunjukkan sebarang tanda ingin membunuh diri. Beliau juga tidak pasti bagaimana ibunya boleh sampai ke tempat kemalangan itu berlaku.

"Ada kemungkinan bahawa ketika beliau keluar, kerana demensia yang dialami, Cik Yong terlupa jalan lalu berasa bingung, menyebabkan beliau berjalan ke ekspreswe lalu dilanggar kereta," kata Koroner Negara Kamala Ponnampalam.

Kematian Cik Yong "menggariskan banyak cabaran yang dihadapi oleh individu yang menghidap demensia", kata koroner itu.

Beliau menyifatkan kematian Cik Yong sebagai nahas jalan raya yang malang dan mengutuskan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergiannya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan