Skip to main content

Singapura

Wanita 77 tahun meninggal dunia susuli kebakaran flat Bukit Panjang

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 77 tahun meninggal dunia susuli kebakaran flat Bukit Panjang

Sebuah kenderaan SCDF di lokasi kejadian selepas kebakaran berlaku di Blok 126 Pending Road pada 28 September 2026. (Gambar: Facebook/Pasukan Pertahanan Awam Singapura)

Diterbitkan : 30 Sep 2026 12:38PM
77-year-old woman dies after fire at Bukit Panjang flat
  • A 77-year-old woman died after a fire at a sixth-floor HDB flat in Block 126 Pending Road, Bukit Panjang, at about 3pm on Monday.
  • SCDF extinguished a fire involving items in the living room with a water jet, administered CPR to the victim, and took several people to hospital.
  • A 62-year-old man and a neighbour who had inhaled smoke were also taken to hospital, while about 70 residents were evacuated as a precautionary measure.
  • The cause of the incident is still under investigation, while SCDF reminded residents about the risks of unattended cooking, electrical hazards and flammable materials following several fatal fires since late July.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 77 tahun meninggal dunia selepas kebakaran berlaku di sebuah flat di Bukit Panjang pada Isnin (28 Sep).

Beliau merupakan seorang daripada dua individu yang dikejarkan ke hospital selepas kebakaran berlaku di sebuah unit Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di tingkat enam Blok 126 Pending Road.

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut sekitar pukul 3.00 petang pada Isnin.

Asap hitam kelihatan keluar dari unit tersebut apabila anggota bomba tiba. Kebakaran yang melibatkan barangan di ruang tamu tersebut dipadamkan menggunakan satu jet air.

Semasa operasi memadam kebakaran, anggota bomba menemui seorang individu yang tidak sedarkan diri di ruang tamu dan membawanya keluar dari flat tersebut, menurut SCDF dalam catatannya di Facebook.

Seorang paramedik SCDF dan pegawai perubatan kecemasan melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum individu tersebut dibawa ke Hospital Woodlands, tambahnya.

Polis memaklumkan wanita berusia 77 tahun itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudian meninggal dunia. Seorang lelaki berusia 62 tahun pula dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.

SCDF menyatakan seorang lagi individu dari unit bersebelahan diperiksa kerana terhidu asap dan dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH).

Sekitar 70 orang dipindahkan dari blok yang terjejas itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Punca kebakaran sedang disiasat.

Menurut SCDF, tiga punca utama kebakaran di kediaman ialah kegiatan memasak yang ditinggalkan tanpa pengawasan, kebakaran elektrik dan bahan bernyala yang ditinggalkan tanpa pengawasan.

SCDF menasihatkan para penduduk supaya tidak mengabaikan proses memasak tanpa pengawasan serta memastikan dapur, hud dapur dan ketuhar sentiasa berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada minyak.

Para penduduk juga dinasihatkan supaya tidak membebankan soket elektrik dan tidak mengecas peranti semalaman tanpa pengawasan.

Bahan bernyala seperti colok dan rokok tidak seharusnya ditinggalkan tanpa pengawasan dan perlu dipadamkan sepenuhnya sebelum dibuang.

Kejadian terbaharu itu berlaku di tengah-tengah beberapa kebakaran maut di tempat kediaman sejak akhir Julai.

Pada 28 Julai, seorang lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia selepas kebakaran berlaku di sebuah flat di Blok 39 Circuit Road.

Tiga hari kemudian, seorang individu maut dalam kebakaran di Blok 309 Clementi Avenue 4, yang turut mencederakan dua anggota bomba.

Pada 5 Ogos, seorang lelaki berusia 88 tahun meninggal dunia dua hari selepas kebakaran di Blok 684 Race Course Road yang turut menyebabkan empat lagi individu terperangkap di dalam flat berkenaan.

Seorang lelaki berusia 67 tahun pula maut selepas satu lagi kebakaran berlaku di sebuah flat di Jurong East pada 16 Ogos.

Awal bulan ini, seorang lelaki berusia 68 tahun meninggal dunia selepas kebakaran berlaku di sebuah flat di Lorong Lew Lian pada 1 September.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita