Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 68 tahun antara peserta sahut cabaran daki Annapurna bagi Climbathon 2019

Wanita bernama Cik Nama'a Kadir ini mungkin layak dianggap sebagai satu dalam sejuta di Singapura. Pada usia senja 68 tahun, beliau bakal mendaki Kem Pangkalan Gunung Annapurna yang setinggi 4,100 meter di banjaran Himalaya

Anggaran Waktu Membaca:
02:30 Min
Wanita bernama Cik Nama'a Kadir ini mungkin layak dianggap sebagai satu dalam sejuta di Singapura. Pada usia senja 68 tahun, beliau bakal mendaki Kem Pangkalan Gunung Annapurna yang setinggi 4,100 meter di banjaran Himalaya.

SINGAPURA: Wanita bernama Cik Nama'a Kadir ini mungkin layak dianggap sebagai satu dalam sejuta di Singapura. Pada usia senja 68 tahun, beliau bakal mendaki Kem Pangkalan Gunung Annapurna yang setinggi 4,100 meter di banjaran Himalaya.

Cik Nama'a adalah di kalangan 51 peserta yang menyahut cabaran ekspedisi Climbathon anjuran Yayasan MENDAKI. Jumlah itu hampir 30 peratus lebih ramai berbanding penyertaan Climbathon tahun lalu.

Kumpulan pendaki itu akan berangkat menuju Nepal pada Sabtu (7 Dis). Climbathon adalah sebahagian daripada usaha mengumpul dana bagi Dana Amanah Pendidikan (ETF).

GIGIH JALANI LATIHAN 3 KALI SEMINGGU

Walaupun hampir mencecah usia 70 tahun, Cik Nama'a layak dijadikan peran contoh kerana enggan menjadikan usiannya sebagai penghalang. Selepas bersara sekitar setahun lalu, beliau ingin mencari sesuatu yang terus mencabar dirinya.

Lantaran itu, sebaik sahaja mendapat tahu tentang Climbathon ke Kem Pangkalan Annapurna, beliau tidak teragak-agak untuk menyerahkan borang penyertaan. Apatah lagi, menyahut cabaran tersebut juga bermakna, beliau sedang menjalankan usaha murni.

Sebagai persiapan bagi ekspedisi itu, Cik Nama'a menjalani latihan tiga kali seminggu bersama 50 peserta lain, sejak bulan Julai lagi.

Pada setiap Isnin, mereka akan memanjat tangga di blok HDB setinggi 40 tingkat di Toa Payoh. Waktu malam pada setiap Rabu pula diluangkan untuk melakukan senaman di Sports Hub. Kegiatan 'mengembara' di kawasan hutan turut dilakukan pada setiap Ahad.

PALING MANIS DAPAT TEMPUH ANNAPURNA SAMA-SAMA

Cabaran mendaki gunung sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru buat Cik Nama'a. Beliau sebelum ini malah sudah berjaya menawan beberapa gunung bersama keluarganya.

Namun kali ini, Cik Nama'a akan melakukannya bersendirian bersama teman-teman baru.

"Selain daripada membantu, ini adalah satu cabaran buat saya yang saya boleh lakukan selagi saya masih diberi kesihatan dan kekuatan. Rasanya paling manis sekali adalah kalau kita sama-sama dapat tempuhi cabaran dan ke puncak bersama," kata Cik Nama'a kepada BERITAmediacorp.

Ditanya jika beliau ada sebarang kebimbangan mendaki setinggi lebih 4,100 meter selama sekitar 10 hari, Cik Nama'a nampaknya begitu yakin diri. Beliau sekadar bimbang tentang cuaca sejuk di gunung tersebut, yang boleh jatuh serendah 9 darjah Selsius bawah sifar.

PENERIMA BANTUAN PERAH KERINGAT KUMPUL DANA

Tahun ini, seramai 22 belia yang merupakan penerima bantuan MENDAKI, ditaja anggota masyarakat untuk mengikuti acara kemuncak pengumpulan dana ETF.

(Gambar: MENDAKI)

(Gambar ihsan: MENDAKI)

Mereka yang terpilih menunjukkan ciri-ciri kepimpinan semasa mengikuti program YOUTH OUT! MENDAKI. Program itu hanya dibuka kepada belia berusia antara 15 dengan 19 tahun, yang mana mereka diajak mengikuti tiga kursus menyeronokkan sepanjang enam minggu.

Antara yang dipilih termasuk penerima bantuan ETF berusia 19 tahun, Ruzaini Abdul Razak. MENDAKI menyatakan, beliau begitu aktif semasa mengikuti program itu.

"Peluang ini membawa saya keluar dari zon keselesaan. Dan saya teruja dapat menyumbang kembali kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura menerusi inisiatif sebegini," kongsi Ruzaini.

PENDAKI BELIA TURUT SERTAI ACARA AMAL

Ahad lalu (1 Dis), Ruzaini bersama 21 belia lain, juga menyingsing lengan untuk mencuci kereta secara amal demi mengumpul dana bagi menyokong keperluan pendidikan para pelajar Melayu/Islam dari keluarga-keluarga berpendapatan rendah.

Jualan amal turut dijalankan di MENDAKI@Jurong di acara yang sama.

Edisi Climbathon tahun lalu berjaya mengumpul $250,000 bagi ETF. Berdasarkan trend pada tahun-tahun sebelumnya, bilangan penerima ETF dijangka akan terus meningkat, sekali gus memerlukan jumlah agihan yang lebih besar. 

Sesiapa yang ingin menyokong pendidikan anak-anak memerlukan masih boleh melakukannya menerusi laman ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/AQ/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa