Skip to main content

Singapura

Wanita 65 tahun ganggu jiran di Yishun dikenakan probesen

Seorang wanita berusia 65 tahun yang mengganggu jiran tetangganya dengan menyimbah sejenis cecair yang tidak dikenal pasti di koridor flat dijatuhi hukuman probesen selama enam bulan hari ini (28 Dis), dalam satu kes yang disifatkan oleh pihak pendakwa raya sebagai "luar biasa".

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 65 tahun ganggu jiran di Yishun dikenakan probesen

Tan Siew Ngoh mengaku bersalah terhadap pelbagai tuduhan, termasuk menyebabkan gangguan awam dan melakukan perbuatan nakal. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 28 Dec 2018 09:19PM Dikemas Kini : 28 Dec 2018 09:25PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 65 tahun, yang mengganggu jiran tetangganya dengan menyimbah sejenis cecair yang tidak dikenal pasti di koridor flat, dijatuhi hukuman probesen selama enam bulan hari ini (28 Dis), dalam satu kes yang disifatkan oleh pihak pendakwa raya sebagai 'luar biasa'.

Probesen biasanya dikenakan terhadap para pesalah muda.

Tan Siew Ngoh, yang tinggal bersama anak perempuannya di sebuah flat di Yishun, berulang-alik ke ruang koridor pada awal pagi tahun lalu untuk menyimbah cecair di lantai koridor tersbeut.

Menurut jiran tetangganya, cecair itu seperti minyak dan berbau air kencing.

Salah seorang jirannya memasang sebuah kamera litar tertutup, yang merakamkan Tan melakukan perbuatan tersebut lima kali secara berasingan.

Tan mengaku bersalah terhadap pelbagai tuduhan, termasuk menyebabkan gangguan awam dan melakukan perbuatan nakal.

Tan tiba di mahkamah hari ini (28 Dis) dengan menggunakan kerusi roda, dan ditemani oleh anak perempuannya yang berkata bahawa ibunya mengalami masalah demensia dan beberapa masalah kesihatan mental lain yang belum lagi didiagnosis.

Peguam Tan, Christopher Sim, yang mewakilinya di bawah Skim Bantuan Guaman Jenayah, sebelum ini meminta agar laporan kesesuaian probesen dijalankan. Tan kemudian didapati sesuai untuk menjalani hukuman probesen.

Pihak pendakwa raya tidak membantah probesen bagi kes Tan, sambil menarik perhatian bahawa dia akan dipantau dan diberi rawatan.

PROBESEN BAGI BANTU TAN DAN KELUARGANYA, KATA HAKIM

Hakim Daerah May Mesenas mengarahkan agar Tan menjalani probesen selama enam bulan, dengan syarat dia mengambil ubat-ubatannya dan menghadiri rawatan susuluan bagi masalah demensia.

Dia juga harus menjalani ujian atau rawatan susulan di Institut Kesihatan Mental (IMH) jika perlu. Anak perempuannya juga harus menyempurnakan bon jaminan sebanyak S$5,000 bagi memastikan ibunya berkelakuan baik.

Hakim May Mesenas menekankan bahawa Tan tidak boleh melakukan kesalahan lagi dan probesen itu adalah bagi membantu dia dan keluarganya. Proses itu juga akan menghubungkan anak perempuannya dengan agensi-agensi relevan yang dapat memberikannya bantuan dan sokongan yang diperlukan, tambah hakim May Mesenas.

"Kami tidak mahu melihat dia di mahkamah ini lagi. Dia sudahpun lanjut usia," katanya.

Selepas perbicaraan itu, anak perempuan Tan, yang hanya dikenali sebagai Peggy, memberitahu para wartawan bahawa beliau gembira dengan probesen yang dikenakan terhadap ibunya kerana ia demi kebaikannya.

Ditanya sama ada beliau sudahpun bercakap kepada jiran-jirannya yang terjejas akibat perbuatan ibunya itu, Cik Peggy berkata mereka tidak mengendahkannya kerana mereka rasa "tidak mahu bercakap" dengannya.

Cik Peggy menambah bahawa beliau ingin meminta maaf kepada mereka.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita