Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 64 tahun sanggup tipu bank; buka akaun angkara terjerat cinta Internet

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 64 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (28 Apr) atas tuduhan menipu dua bank untuk membuka akaun-akaun yang digunakan bagi skim penipuan cinta Internet.

Yvonne Cecilia de Silva dituduh bersekongkol dengan individu bernama "Edmond Chin" dan "Chris" untuk menipu Bank ICBC dan OCBC, menurut dokumen-dokumen mahkamah.

Dia juga dituduh memberikan kepada mereka butiran log masuk perbankan online dan satu kad ATM.

"Akaun-akaun bank itu digunakan oleh penjenayah untuk menggunakan hasil daripada kegiatan jenayah daripada tiga kes yang dilaporkan adalah skim penipuan cinta Internet," menurut polis.

Mangsa-mangsanya menjalin hubungan dengan penipu tersebut secara online di Facebook dan Instagram dan selepas beberapa waktu, memindahkan wang berjumlah S$121,000 apabila diminta si penipu.

"Sebahagian wang dipindahkan kononnya untuk membantu meringankan masalah aliran tunai. Wang juga dipindahkan atas dasar membayar yuran yang diperlukan untuk membolehkan barangan yang dikirimkan oleh kekasih online itu dihantarkan kepada mereka," menurut polis.

Siasatan mendapati wanita 64 tahun itu mendekati orang-orang yang tidak dikenali di Facebook pada 2019. Mereka meminta bantuan untuk menerima dana di Singapura bagi perniagaan mereka.

Wanita itu dipercayai menipu dua bank untuk membuka akaun-akaun atas namanya, dengan memperdayakan mereka supaya percaya seolah-olah dia yang akan menggunakan akaun-akaun tersebut.

Dia dikatakan mengirimkan kad ATM bank kepada satu alamat di Malaysia dan menyediakan butiran log masuk perbankan online kepada individu di sana.

Dia juga dituduh menerima S$6,000 dalam akaun Maybank miliknya bagi tujuan memindahkannya kepada pihak lain.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana bersubahat untuk menipu bank dengan membuka akaun bank boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan bersubahat untuk mendapatkan akses yang tidak disahkan kepada sistem komputer bank, pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang disabit kesalahan menjalankan perniagaan menyediakan khidmat bayaran di Singapura tanpa lesen, boleh didenda sehingga S$125,000, dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Polis memandang serius terhadap sesiapa yang terlibat dalam kegiatan memudahkan pengubahan wang haram dan pesalah akan ditangani mengikut undang-undang," menurut polis.

"Untuk mengelak daripada terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram, orang awam dinasihatkan supaya jangan berkongsi kemudahan-kemudahan perbankan mereka untuk menerima dan memindahkan dana serta melindungi diri daripada mendedahkan butiran SingPass, yang boleh disalahgunakan bagi banyak urus niaga."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan