Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 62 tahun didenda S$2,000 tampar kakitangan hospital; naik berang tercari-cari bekas suami di hospital

Risau mencari bekas suaminya yang menghidap Alzheimer dan hilang buat seketika sebelum dibawa ke hospital, seorang wanita menampar kakitangan Hospital Besar Ng Teng Fong setelah bertengkar dengannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Risau mencari bekas suaminya yang menghidap Alzheimer dan hilang buat seketika sebelum dibawa ke hospital, seorang wanita menampar kakitangan Hospital Besar Ng Teng Fong setelah bertengkar dengannya.

Jun Andylinn Abdul Majid, 62 tahun didenda S$2,000 pada Rabu (10 Nov) atas tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Mahkamah diberitahu bahawa bekas suami Jun hilang buat seketika sebelum ditemui semula dan dibawa ke hospital.

Jun pergi ke Hospital Besar Ng Teng Fong pada 22 September tahun lalu bersama anak perempuannya, dengan harapan dapat berjumpa dengan bekas suaminya itu.

Apabila tiba di hospital, dia diberitahu bahawa bekas suaminya berada di jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E) dan tiada seorang pun yang dibenarkan memasukinya disebabkan oleh situasi COVID-19 ketika itu.

Mangsa, seorang kakitangan khidmat pesakit yang berusia 52 tahun, kemudian menyerahkan sekeping kertas kepada Jun yang mengandungi maklumat tentang bekas suaminya dan beliau meminta Jun kembali ke hospital itu pada sekitar pukul 8.30 malam.

Apabila Jun kembali pada masa yang dinyatakan itu dia tidak dapat menziarahi bekas suaminya di wad berkenaan setelah diberitahu bahawa bekas suaminya tidak lagi berada di situ.

Pada pukul 8.45 malam, Jun kembali ke jabatan A&E lalu bersemuka dengan mangsa. Dia mendakwa maklumat yang diberikan kepadanya tidak tepat dan mangsa menjelaskan bahawa beliau mendapatkan maklumat tersebut daripada sistem hospital ketika itu.

Mangsa kemudian mengoyakkan kertas itu kerana tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha pihak hospital untuk melindungi data peribadi.

Jun sebaliknya menuduh mangsa tidak bersikap profesional.

Kedua-dua individu itu mula bertengkar dan Jun menampar pipi lelaki itu sehingga menyebabkan kesan lebam pada mukanya.

Pihak pendakwa mengusulkan denda antara S$2,000 dengan S$2,500 kerana tertuduh tidak mempunyai sabitan sebelum ini dan tertuduh sejak awal lagi sudah mengaku bersalah.

Kesalahan itu juga tidak dirancang atau berlarutan, kata pihak pendakwa.

Sungguhpun demikian, pihak pendakwa meminta mahkamah mengambil kira perbuatan Jun yang menjadikan muka mangsa sebagai sasarannya sedangkan mangsa adalah seorang pekerja perkhidmatan awam yang peranannya "tentu sekali lebih penting disebabkan oleh situasi COVID-19" pada ketika itu.

Peguam bela David Ling memohon hukuman denda lebih ringan sambil berkata bahawa anak guamnya menziarahi bekas suaminya setiap hari untuk menjaganya kerana bekas suaminya itu tinggal seorang diri dan menghidap penyakit Alzheimer dan kencing manis.

Menurut peguam bela, anak guamnya "berhempas-pulas dari sekitar pukul 5.00 petang hingga 8.56 malam cuba mencari bekas suaminya".

"Tentu sekali dia berasa penat dan risau tentang keberadaan bekas suaminya," katanya lagi.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, Jun boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan