Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 47 tahun didakwa; tipu, palsukan permohonan Geran Bantuan COVID-19

Seorang wanita berusia 47 tahun didakwa di mahkamah pada Selasa (8 Jun) atas kesalahan menipu dan memalsukan permohonan Geran Bantuan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 47 tahun didakwa; tipu, palsukan permohonan Geran Bantuan COVID-19

(Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

Diterbitkan : 08 Jun 2021 09:43PM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 09:44PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 47 tahun didakwa di mahkamah pada Selasa (8 Jun) atas kesalahan menipu dan memalsukan permohonan Geran Bantuan COVID-19.

Rajagopal Malini dipercayai cuba menipu Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk memberikan geran kepadanya dengan membuat perisytiharan palsu dalam permohonannya bahawa dia dipaksa mengambil cuti tanpa gaji selama lebih tiga bulan disebabkan oleh COVID-19, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya.

Dia juga dipercayai memalsukan surat pemberhentian kerja bagi menyokong perisytiharan palsu itu dalam permohonannya.

MSF tidak meluluskan permohonannya bagi Geran Bantuan COVID-19.

Rajagopal Malini juga berdepan dengan beberapa tuduhan tambahan berkaitan penggunaan kad kredit yang dicuri dan satu kes pecah amanah.

Dia juga berdepan dengan sembilan tuduhan bersubahat untuk melakukan penipuan menggunakan kad kredit yang dicuri untuk melakukan urus niaga haram bernilai S$12,916.10 secara keseluruhannya, dan satu tuduhan pecah amanah menyalahgunakan wang tunai sebanyak S$4,015.72 daripada majikannya, menurut polis.

"Polis memandang serius terhadap individu-individu yang terlibat dalam penipuan atau perlakuan tidak jujur, terutama sekali berkaitan permohonan bagi mendapatkan geran pemerintah," menurut SPF.

"Para pesalah akan ditangani dengan tegas sejajar dengan undang-undang ."

Atas tuduhan cuba melakukan penipuan dan bagi setiap tuduhan bersubahat dengan niat untuk melakukan penipuan, Rajagopal Malini boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Mereka yang didapati bersalah kerana melakukan pemalsuan dengan niat untuk menipu juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Hukuman bagi kesalahan pecah amanah oleh seorang pekerja adalah hukuman penjara sehingga 15 tahun dan didenda.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan