Wanita 36 tahun dijel 9 bulan kerana seleweng S$38,000 dari Masjid Darul Aman
Seorang wanita yang bekerja di sebuah masjid di sini menyelewengkan sekitar S$38,000 antara 2017 hingga 2019.
Masjid Darul Aman (Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Seorang wanita yang bekerja di sebuah masjid di sini menyelewengkan sekitar S$38,000 antara 2017 hingga 2019.
Bagi satu tuduhan pecah amanah, dengan dua tuduhan serupa turut diambil kira, Marlina Abdul Rahman, 36 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan pada Rabu (8 Jan).
Dia mengaku bersalah atas kesalahan-kesalahan tersebut, sambil menangis di mahkamah dan memberitahu hakim bahawa dia baru mendapat tahu yang dia berbadan dua.
Mahkamah diberitahu bahawa Marlina, yang tidak diwakili oleh seorang peguam, bekerja sebagai seorang pegawai khidmat korporat di Masjid Darul Aman di 1 Jalan Eunos.
Dia mula mengambil wang daripada masjid itu beberapa bulan selepas mula bekerja pada lewat Januari 2017.
Dia diamanahkan untuk menerima bayaran bagi pihak masjid, mengumpul derma daripada orang ramai, yuran bagi penggunaan kemudahan masjid dan kelas-kelas agama.
Antara Mac 2017 hingga November 2017, Marlina menggelapkan sekitar S$15,000 dana masjid.
Dia melesapkan lagi S$12,770 antara Januari 2018 hingga November 2018, dan S$10,195 antara Januari 2019 hingga Julai 2019.
Pada Ogos 2019, seorang pengurus korporat dan estet masjid tersebut mendapati kekurangan S$4,800 daripada kutipan derma semasa Hari Raya Haji.
Beliau menyemak resit dan sistem sistem perakaunan masjid dan mendapati Marlina sudah mengeluarkan sekitar 219 resit manual, yang sepatutnya hanya digunakan apabila sistem tersebut tidak berfungsi.
Pengurus itu kemudian melakukan semakan yang menyeluruh dan mendapati 155 daripada 219 resit manual itu tidak didaftarkan dalam sistem perakaunan dan sembilan daripada 64 resit manual yang didaftar dicatatkan dengan nilai lebih kecil dalam sistem.
Marlina membelanjakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi dan kegunaan keluarganya.
Secara keseluruhannya, dia menggelapkan S$37,877.50 daripada dana masjid dan hanya membayar balik S$4,800, kata Timbalan Pendakwa Raya Suhas Malhotra.
Atas kesalahan pecah amanah oleh seorang pekerja, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.