Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 31 tahun ditahan, disyaki bunuh bapanya di Sengkang

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 31 tahun ditahan, disyaki bunuh bapanya di Sengkang

Kenderaan polis dilihat di Blok 190A Rivervale Drive di Sengkang pada 4 November 2022.(Gambar: CNA/Hanidah Amin)

Diterbitkan : 04 Nov 2022 01:03PM Dikemas Kini : 04 Nov 2022 01:05PM
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (4 Nov) menahan seorang wanita 31 tahun kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan bapanya yang berusia 67 tahun di Sengkang.

SPF menyatakan dalam satu kenyataan media bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di unit kediaman di Rivervale Drive pada kira-kira pukul 5.30 pagi, Jumaat (4 Nov) .

"Setibanya polis, para pegawai menemui seorang lelaki 67 tahun terbaring tidak bergerak dengan pelbagai kesan cedera di dalam unit berkenaan. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik di tempat kejadian," menurut SPF.

Wanita itu akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (5 Nov) atas tuduhan membunuh, menurut SPF.

Kesalahan membunuh membawa hukuman mati.

Siasatan polis masih dijalankan.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga menerima panggilan meminta bantuan di Blok 190A Rivervale Drive pada Jumaat (4 Nov) sekitar pukul 5.35 pagi.

Empat kenderaan polis dan puluhan pegawai polis dilihat di blok HDB Sengkang itu pada Jumaat pagi.

Seorang penduduk yang mengenalkan dirinya sebagai Encik Ghani berkata beliau melihat kereta polis tiba pada kira-kira pukul 7.20 pagi ketika beliau memandu keluar dari tempat meletak kereta untuk menghantar isterinya ke tempat kerja.
Pegawai polis di tempat pembuangan sampah di Blok 190A Rivervale Drive di Sengkang pada 4 Nov 2022. (Gambar: CNA/Chew Hui Min)
Penduduk lain berkata mereka melihat seorang wanita berusia 30-an tahun dibawa oleh pegawai polis pada sekitar 7.45 pagi.

Seorang penduduk dan pekerja pembersihan di blok berkenaan juga melihat polis memeriksa tempat pembuangan sampah di bawah blok tersebut.

Polis kemudian mengambil beg plastik merah ke tingkat 15, menurut mereka. Namun, mereka tidak pasti apa yang terkandung dalam beg berkenaan.

Di tingkat 15 blok berkenaan, polis memasang pita mengepung tapak kejadian dan menemu bual jiran di salah sebuah flat.

Pada kira-kira 11.15 pagi, dua pegawai polis dan dua kakitangan Singapore Casket dilihat membawa beg mayat berwarna hitam keluar daripada unit tersebut ke dalam sebuah kenderaan polis.

Lima minit kemudian, kenderaan itu meninggalkan blok berkenaan.

Wartawan Mediacorp melihat seorang wanita menangis dengan kuat ketika polis sedang bercakap dengannya.
Pegawai polis berbual dengan seorang wanita di Blok 190A Rivervale Drive di Sengkang pada 4 Nov 2022. (Gambar: CNA/Hanidah Amin)
Cik Lalitha, 45 tahun, yang merupakan jiran unit berkenaan berkata pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka tinggal di dalam flat yang disiasat polis.

Kira-kira dua bulan lalu, si ibu meninggal dunia, kata Cik Lalitha yang melihat anaknya menangis di upacara persemadian ibunya itu. Anak perempuan itu yang ditahan polis, katanya.

Jiran tetangga lain berkata wanita itu tidak bercampur dengan orang lain. Seorang lagi jiran, Cik Shidah berkata ibu wanita itu lebih mesra dan akan berbual dengan beliau.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan