Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 25 tahun dijel 15 minggu; tipu 6 mangsa tempahan penginapan hotel

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dalam tempoh sembilan bulan pada tahun ini, seorang wanita memperdayakan enam individu untuk membuat tempahan bagi penginapan hotel melaluinya dan dia menghantar tangkap layar skrin yang menunjukkan seolah-olah dia sudah membuat tempahan-tempahan tersebut.

Pada Khamis (22 Dis), Nurul Raihannah Abdul Rafee, 25 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 15 minggu atas tiga tuduhan menipu dengan tiga lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Jumlah keseluruhan yang ditipu adalah S$1,760 dan hanya S$100 dipulangkan kepada dua mangsa.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 27 Januari, mangsa menjawab hantaran Nurul Raihannah di wadah e-dagang, Carousell, yang menawarkan tempahan bagi penginapan hotel selama dua malam pada harga S$450 di Hotel ParkRoyal Collection Marina Bay.

Mangsa berunding untuk mendapatkan potongan harga yang dipersetujui oleh Nurul Raihannah yang mendakwa seolah-olah dia tidak dapat menggunakan tempahan tersebut dan sebaliknya akan menerima apa sahaja bayaran yang boleh didapatkannya.

Selepas meminta butiran peribadi mangsa, dia menghantar tangkap layar skrin yang menunjukkan seolah-olah dia membuat tempahan di hotel berkenaan. Dia kemudian meminta bayaran S$50 yang didakwa adalah sebagai bayaran untuk membuat perubahan bagi menukar tempahan kepada nama mangsa.

Dia berjanji untuk menunjukkan kepada mangsa pengesahan tempahan yang dikemas kini tetapi tidak melakukan demikian.

Selepas gagal untuk mendapatkan semula wangnya, mangsa membuat aduan polis pada 16 Februari.

Pada 9 Julai, Nurul Raihannah menipu seorang lagi mangsa
menggunakan cara yang sama. Dia menjanjikan tempahan bagi penginapan bilik Hotel Fort Canning. Namun kali ini dia menggunakan nama pengguna Carousell yang berbeza dan akaun bank baru kerana akaun banknya sebelum itu sudah dibekukan ekoran siasatan polis.

Penipuan ketiga berlaku pada Ogos ketika tertuduh memperdayakan seorang lagi mangsa melalui penyenaraian di Facebook Marketplace dan menawarkan penginapan di Hotel Fort Canning.

Dia meminta mangsa memindahkan S$400 melalui PayNow kepada teman lelakinya dan memberitahu teman lelakinya bahawa wang tersebut adalah daripada ahli keluarganya.

Dia juga memperdayakan tiga mangsa lain untuk memindahkan wang dengan menjanjikan tempahan bagi penginapan di Parkroyal Collection Marina Bay, Andaz Singapore dan sebuah lagi hotel yang tidak dinamakan.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Jun Chong mengusulkan hukuman penjara antara 16 hingga 20 minggu sambil menekankan bahawa langkah pencegahan diperlukan bagi jenayah berkaitan penipuan yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Bagi setiap tuduhan menipu, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan