Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 20 tahun ditangkap didakwa serang pemandu teksi di Prinsep Street

Seorang wanita tempatan berusia 20 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes "bertindak kasar sehingga menyebabkan kecederaan" terhadap seorang pemandu teksi.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 20 tahun ditangkap didakwa serang pemandu teksi di Prinsep Street

Anak mangsa merayu di Facebook bagi meminta bantuan mencari wanita yang menurutnya, menyerang ayah beliau. (Gambar: Kelvin Chua/Facebook)

Diterbitkan : 17 Jul 2020 05:08PM Dikemas Kini : 17 Jul 2020 05:13PM

SINGAPURA: Seorang wanita tempatan berusia 20 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes "bertindak kasar sehingga menyebabkan kecederaan" terhadap seorang pemandu teksi.

Menurut kenyataan polis pada Khamis (16 Jul), pihaknya menerima laporan pada sekitar 11.50 pagi Rabu (15 Jul) dari seorang lelaki berusia 71 tahun.

Beliau memberitahu polis bahawa dirinya diserang seorang wanita tidak dikenali. Suspek dikatakan menyerangnya menggunakan dulang saji kayu.

Wanita itu merupakan penumpang teksi mangsa dan dia turun di Prinsep Street semasa kejadian.

Menurut polis lagi, suspek dipercayai tidak memakai pelitup semasa dalam teksi dan kemudian enggan membayar tambang.

Para pegawai dari Divisyen Polis Central selanjutnya mengenal pasti identiti wanita berkenaan lalu memberkasnya pada 3.20 petang Khamis (16 Jul) di Kitchener Road.

Polis menambah, suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes enggan membayar tambang sebelum ini. Dia akan turut disiasat berkaitan melanggar peraturan jarak selamat.

Jika sabit kesalahan bertindak kasar sehingga menyebabkan kecederaan, wanita itu boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan gagal membayar tambang teksi pula, suspek boleh didenda sehingga S$1,000. Namun jika dia seorang pesalah berulang, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$2,000, atau kedua-duanya sekali.

Awal pagi Khamis (16 Jul), seorang lelaki yang mengaku sebagai anak mangsa, memuat naik rayuan di laman Facebook untuk mendapat bantuan mencari suspek.

Dalam catatan beliau, Encik Kelvin Chua berkata wanita tersebut menaiki teksi di Ang Mo Kio Avenue 10.

Beliau menambah, wanita tersebut tidak memakai pelitup dan meminta untuk meminjam telefon bimbit mangsa semasa dalam perjalanan ke Prinsep Street.

"Sepanjang perjalanan selama 17 minit itu, dia membuat banyak panggilan dan enggan memulangkan telefon bimbit itu meski bapa saya sudah merayu kepadanya," tulis Encik Chua.

Wanita itu akhirnya memulangkan telefon bimbit bapa beliau apabila sudah menghampiri destinasinya. Apabila diminta membayar tambang teksi, suspek memberitahu mangsa untuk tunggu.

"Kerana sikapnya sebelum itu, bapa saya mencurigai wanita itu lalu mengekorinya dari jauh. 20 saat kemudian, dia menoleh lalu menghayun tangannya ke arah bapa saya. Bapa saya terus mengikutinya dan tidak lama selepas itu, dia menyerang lagi, kali ini menggunakan dulang saji piza yang diambil dari sebuah restoran," kata Encik Chua.

Wanita itu kemudian kembali ke teksi, menarik mesin e-bayaran Nets lalu melemparkannya ke arah mangsa, tambah Encik Chua lagi.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan