Wang kertas Bicentennial S$20 'laris', kini hanya terdapat di 4 bank
Wang kertas S$20 yang baru dilancarkan bagi memperingati 200 Tahun Singapura mendapat "sambutan hangat" sejak ia mula didapati pada Isnin (10 Jun), menurut satu kenyataan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Selasa (11 Jun).

(Gambar: MAS)
SINGAPURA: Wang kertas S$20 yang baru dilancarkan bagi memperingati 200 Tahun Singapura mendapat "sambutan hangat" sejak ia mula didapati pada Isnin (10 Jun), menurut satu kenyataan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Selasa (11 Jun).
"Beberapa cawangan bank sudah kehabisan bekalan wang kertas tersebut," menurut MAS.
Dikeluarkan oleh MAS, wang kertas S$20 melambangkan perjalanan negara ini dan memberi penghormatan kepada golongan perintis yang membangunkan asas Singapura moden.
Dua juta keping wang kertas S$20 mula diagihkan kepada orang ramai di cawangan-cawangan sembilan bank besar setempat pada Isnin. Setiap orang dibenarkan menukar sehingga 20 keping wang kertas tersebut.
Kesemua cawangan DBS dan POSB kehabisan stok wang tersebut pada Selasa petang, menurut seorang jurucakap DBS. UOB juga kehabisan bekalan wang kertas tersebut.
MAS mengumumkan setakat Selasa, terdapat "bilangan terhad" wang tersebut di cawangan bank berikut:
OCBC
- OCBC Centre
Citibank Singapore Limited
- Parkway Parade
Industrial and Commercial Bank of China (ICBC) Limited Singapore Branch
- Ang Mo Kio, Holland Village, Paya Lebar, Punggol, Sembawang, Simei
HSBC Bank (Singapore) Limited
- Alexandra, Bukit Timah, Collyer Quay, Holland Village, Jurong, Marine Parade, Orchard Dhoby Ghaut, Raffles Place, Serangoon Garden, Suntec City, Tampines
MAS menambah mereka yang ingin mendapatkan wang kertas berkenaan tidak perlu menjadi pelanggan bank tersebut.
Wang kertas itu dilancarkan Presiden Halimah Yacob Rabu lalu. Coraknya direka oleh pelukis tempatan Encik Eng Siak Loy dan Encik Weng Ziyan.
Selain itu, 5,000 set edisi terhad wang tersebut turut dijual. Setiap set terdiri tiga kepingan nota S$20 yang belum dipotong.
Tempahan awal boleh dibuat menerusi The Singapore Mint bermula Rabu hingga 13 Jun. Set tersebut akan diagihkan menerusi undian rambang jika terdapat permintaan yang banyak dan boleh diambil bermula 20 Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.