Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wang $35,000 lesap dalam 16 jam - mangsa penipuan pinjaman wang

Hasrat ingin membantu melunaskan hutang adiknya akhirnya bertukar menjadi satu pengalaman ngeri bagi 'Ariffin Ali', bukan nama sebenar. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hasrat ingin membantu melunaskan hutang adiknya akhirnya bertukar menjadi satu pengalaman ngeri bagi 'Ariffin Ali', bukan nama sebenar.

Dalam tempoh 16 jam sahaja, wang milik Ariffin berjumlah $35,000 hangus dalam satu kejadian penipuan pinjaman wang.

Ariffin berkongsi bagaimana episod malang itu berlaku pada 3 Ogos 2021.

"Saya berada di tempat kerja. Pada waktu makan tengah hari, saya terima panggilan. Banyak 'missed call' daripada nombor yang sama," terang Ariffin.

"Lepas itu mereka hantar saya pesanan teks. Mereka bilang mereka mahu berbual dengan saya berkenaan adik saya."

Ariffin kemudian diberitahu oleh dalang penipuan itu bahawa adiknya ada berhutang sebanyak $15,000.

Pada ketika itu adik Ariffin sedang menjalani hukuman penjara.

"Dia cakap pasal adik saya dan tahu beberapa butiran. Ia macam boleh dipercayai sebab adik saya masuk bulan Disember dan mereka kata adik saya buat pinjaman wang itu pada November. Mereka macam sangat boleh dipercayai," ujar Ariffin.

Mengenang nasib adiknya yang sudah berkeluarga dan akan keluar penjara tidak lama lagi, Ariffin tidak berfikir panjang dan mahu bantu melunaskan hutang adiknya itu.

Pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa dan tiada yang mencurigakan baginya.

Lantaran itu, Ariffin memindahkan wang kepada peminjam wang tersebut. Jumlah bagi urus niaga pertama sebanyak S$15,000.

Kurang sejam kemudian, Ariffin diberitahu bahawa wang yang perlu dibayar balik dua kali ganda kerana sudah termaktub dalam perjanjian pinjaman. Ini bermakna $30,000 dan beberapa yuran tambahan berjumlah kira-kira $5,000.

"Mereka ada beri saya resit dan perkataan yang mereka gunakan adalah 'refundable' (yuran tambahan). Kemudian lagi satu nombor hubungi saya, semua menerusi Whatsapp. Mereka gunakan logo syarikat pinjaman wang,"

"Mereka asyik katakan saya boleh dapat duit balik. Mereka hantar lagi (pesanan), anda perlu pindahkan wang $3,000. Perasaan takut mula saya rasakan," kata Ariffin.

Ariffin kemudian membuat laporan polis dan kesnya masih lagi dalam siasatan.

KES PENIPUAN PINJAMAN WANG MENINGKAT 55.4%

Gambar hiasan (Gambar: Duy Hoang/Unsplash)

Gambar hiasan (Gambar: Duy Hoang/Unsplash)

Menurut perangkaan jenayah pertengahan tahun yang baru diterbitkan pihak Pasukan Polis Singapura pada Isnin (30 Ogos), jumlah kes penipuan pinjaman wang meningkat sebanyak 55.4 peratus.

Pada separuh pertama tahun lalu, sebanyak 800 kes penipuan pinjaman wang dilaporkan dan jumlah itu meningkat kepada 1,243 dalam separuh pertama tahun ini.

Malah penipuan pinjaman wang merupakan jenis penipuan yang mencatatkan jumlah kes paling tinggi dalam separuh pertama tahun ini.

Bagi sepuluh jenis penipuan dengan jumlah kes paling banyak, jumlah wang yang ditipu meningkat kepada S$10.6 juta, naik hampir seganda berbanding S$5.6 juta pada separuh pertama 2020.

PEMINJAM WANG MESTI JUMPA SECARA PERIBADI

(Gambar: iStock)

(Gambar: iStock)

Berhubung dengan kes-kes penipuan pinjaman wang yang semakin meningkat, Pegawai Penyiasat Kanan Pasukan Polis Singapura (SPF), ASP Mohamad Nafis Ahmad Dali menegaskan bahawa pinjaman wang yang berlesen tidak dibenarkan untuk meminta pinjaman melalui pesanan teks, panggilan telefon atau wadah media sosial.

"Peminjam wang berlesen diperlukan untuk berjumpa secara peribadi dengan peminjam di tempat perniagaan yang diluluskan untuk menjalankan pengesahan fizikal akan identiti peminjam secara bersemuka sebelum meluluskan sebarang pinjaman," terang ASP Nafis.

Menurutnya lagi, urus niaga pinjaman yang dilakukan atas talian sepenuhnya adalah tidak dibenarkan.

Bagi memastikan sama ada peminjam wang itu berlesen atau tidak, orang ramai boleh merujuk ke laman web Pendaftaran Peminjam Wang.

ASP Nafis juga mengingatkan, "Peminjam wang berlesen tidak akan meminta pemohon pinjaman untuk membuat sebarang bayaran sebelum sesebuah pinjaman dikeluarkan, atau untuk memastikan pengeluaran sesebuah pinjaman. Ini termasuklah GST, 'yuran pentadbiran', 'yuran proses', atau sebarang yuran lain,"

"Sebarang yuran pentadbiran yang dikenakan oleh peminjam wang berlesen selepas sesebuah pinjaman diluluskan akan dipotong dari pokok pinjaman yang dikeluarkan kepada peminjam,"

Orang ramai juga dinasihatkan supaya jangan berikan maklumat peribadi seperti butir-butir kad pengenalan, SingPass atau akaun bank kepada sesiapapun.

Jika mempunyai sebarang maklumat mengenai penipuan-penipuan sedemikian, atau berasa musykil, orang ramai boleh menghubungi Polis di 1800-255-0000. Sekiranya bantuan segera diperlukan, mereka boleh hubungi ‘999’.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan