Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Walk and Wheelathon 2024 MHCC sasar kumpul S$300,000; galak penuaan aktif

Anggaran Waktu Membaca:
Walk and Wheelathon 2024 MHCC sasar kumpul S$300,000; galak penuaan aktif

Walk and Wheelathon 2024 MHCC sasar kumpul S$300,000. (Gambar: MHCC)

SINGAPURA: Sekitar 300 peserta menyertai acara Walk and Wheelathon 2024 anjuran Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Muhammadiyah (MHCC) pada Sabtu (5 Okt).

Acara yang diadakan semula tahun ini bukan sahaja untuk menggalakkan penuaan aktif tetapi juga satu inisiatif untuk mendekati masyarakat.

PESERTA 'LUMBA' KE GARISAN PENAMAT; JALAN KAKI ATAU GUNA KERUSI RODA

Gambar: MHCC

Salah satu acara menarik yang dianjurkan tahun ini adalah perlumbaan di Hab Tampines Kita.

Setiap peserta diberi pilihan untuk berjalan kaki atau menggunakan kerusi roda, yang mencerminkan kepelbagaian kemampuan di kalangan penduduk yang semakin menua.

Selaras dengan tema ‘Setiap Orang Memiliki Peranan dalam Penuaan Aktif’, acara itu bertujuan untuk mempromosikan penuaan aktif dan menggalakkan keluarga serta masyarakat untuk menyokong perjalanan individu dalam meniti usia lanjut.



Antara peserta yang bersemangat mengambil bahagian ialah Cik Hasanah, 85 tahun.

Beliau merupakan salah satu daripada tiga peserta pertama yang menamatkan perlumbaan itu dan menerima pingat.

"(Ini) untuk kesihatan diri kita. Bila kita berjumpa dengan kawan ramai, jadi pemikiran kita semua terbuka. Jadi penyakit kita semua hilang. Jadi kita gembira, kan? Tidak rasa sakit," kongsi Cik Hasanah kepada BERITA Mediacorp.

AMAL GAYA HIDUP SIHAT, KURANGKAN TEKANAN



Perasaan yang sama turut dirasakan seorang lagi peserta, Cik Maimonah yang berusia 72 tahun.

"Syukur Alhamdulillah. Saya rasa gembira dapat membuat senaman menggunakan kerusi roda dan ada orang menolak," kongsi Cik Maimonah.

Beliau juga mengakui kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat, terutamanya bagi warga emas.

"Terutama orang-orang tua yang sudah berusia, sudah (ada) bermacam-macam penyakit. Sekurang-kurangnya, seperti orang kata kurangkan tekanan yang ada, elak daripada tekanan jiwa, stres," ujar Cik Maimonah.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, turut hadir untuk memeriahkan acara itu.

Menurut Pengurus Pusat MHCC, Encik Muhd Siddiq Abdul Rahim, acara tahun ini melibatkan lebih ramai rakan kongsi dan sukarelawan.



"Acara ini ingin menggalakkan gaya penuaan aktif dan juga gaya hidup sihat terutama sekali dalam warga emas kami. Jadi ini juga seiring dengan kempen SG Lebih Sihat oleh pihak pemerintah yang ingin mengurangkan kadar pesakit di hospital-hospital.

"Kali terakhir kami mengadakan acara seperti ini ialah pada 2016 dan kami berharap dapat mengadakan acara ini di tahun-tahun hadapan sebagai acara yang akan diadakan setiap tahun," kongsi Encik Siddiq.

MHCC SASAR KUMPUL S$300,000

Gambar: MHCC

Dalam pada itu, MHCC berharap untuk mengumpul sebanyak S$300,000 yang akan digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan warga emas dan program penjagaan masyarakat.

"Dana yang dikumpulkan ini untuk subsidi tambahan bagi program fisioterapi kami dan juga penjagaan demensia. Jadi dana ini juga dapat menjana program-program Penuaan Aktif kami. Buat masa ini, kami masih dalam fasa mengumpul dana. Kami mengalu-alukan semua sokongan daripada masyarakat dan individu,"kata Encik Siddiq.

Peserta yang mengambil bahagian hari ini terdiri daripada warga emas, penjaga, dan sukarelawan dari Pusat MHCC di Eunos dan Yishun, serta Tembusu Care dan Sree Narayana Mission.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan