Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Walau gaji pekerja PWM naik hingga 85%, pekerja tidak boleh bersikap sambil lewa - Zaqy

Walaupun para pekerja dalam sektor-sektor Model Gaji Progresif (PWM) akan menyaksikan gaji mereka naik daripada 40 peratus sekarang kepada sehingga 85 peratus menjelang tahun 2028, para pekerja tidak boleh mengambil sikap sambil lewa.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Walaupun para pekerja dalam sektor-sektor Model Gaji Progresif (PWM) akan menyaksikan gaji mereka naik daripada 40 peratus sekarang kepada sehingga 85 peratus menjelang tahun 2028, para pekerja tidak boleh mengambil sikap sambil lewa.

Para pekerja juga tidak boleh hanya mengharapkan pemerintah, majikan atau kesatuan sekerja berusaha menaikkan gaji mereka.

Sebaliknya, mereka juga perlu mempunyai kemahiran baru dari segi digital dan mencapai daya penghasilan yang tinggi.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, dalam ulasan lanjut beliau hari ini (8 Mac), mengenai kemajuan baik yang dibuat menerusi PWM bagi meningkatkan gaji para pekerja bergaji rendah.

"Kita hari ini melihat misalnya, jika seseorang itu berada dalam sektor pembersihan, mereka mungkin mendapat gaji S$1,400 hari ini. Tetapi pada tahun 2028, pekerja pembersih kita mungkin meraih gaji sebanyak S$2,400 - iaitu hampir sama seperti seorang graduan politeknik hari ini," kongsi Encik Zaqy kepada BERITAmediacorp.
 

zaqy mohamad


"Kalau lihat dari sektor pengawal keselamatan pula, mungkin hari ini mereka meraih gaji lebih daripada S$2,000. Tetapi menjelang tahun 2023, mereka mungkin boleh mendapat S$3,500 sebulan. Ini juga hampir sama dengan seorang graduan universiti," tambah beliau lagi.

Semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan di Parlimen semalam (7 Mac), Encik Zaqy berkata menjelang 2023, sekitar 234,000 pekerja - atau lebih lapan daripada setiap 10 pekerja bergaji rendah - akan dibayar gaji progresif. Ini diharap membantu menaikkan lagi taraf kehidupan pekerja bergaji rendah.

Antara pekerja yang meraih manfaat daripada skim ini ialah Encik Mohammad Ali, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, menurut Encik Zaqy.

"Encik Mohammad Ali bermula bekerja sebagai pegawai sekuriti yang mendapat gaji S$1,700 sebulan apabila beliau baru bermula beberapa tahun lalu," kongsi Encik Zaqy.

"Hari ini, beliau sudah pun meningkatkan kemahiran melalui latihan, sokongan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja dan kini meraih lebih daripada S$3,100 sebulan sebagai seorang penyelia," ujar Encik Zaqy.

Dengan gaji yang lebih tinggi ini, tambah beliau, Encik Ali boleh membantu keluarga dan menampung anak-anaknya yang masih lagi bersekolah.

Encik Zaqy menambah bahawa menjelang 2028, apabila PWM itu mencapai taraf yang lebih tinggi, Encik Ali mungkin boleh mendapat sebanyak S$4,430 sebulan, sebagai seorang penyelia.

PEKERJA DAN MAJIKAN PERLU TINGKATKAN PRODUKTIVITI

Namun, Encik Zaqy turut menekankan bahawa para pekerja dan majikan perlu mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan produktiviti agar kenaikan gaji itu kekal mampan.

"Dari segi kenaikan gaji, saya rasa kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa di mana kita mengharapkan hanya pemerintah, majikan ataupun Kesatuan Pekerja menaikkan gaji semata-mata," kata Encik Zaqy.

pekerja pusat penjaja


Di sini, beliau menekankan betapa pentingnya untuk para pekerja mempunyai kemahiran baru dari segi digital dan daya penghasilan yang lebih tinggi.

"Kita juga mahu firma-firma dan syarikat-syarikat mengambil kesempatan ini untuk membuat transformasi dari segi model perniagaan mereka dan proses perniagaan mereka supaya mereka lebih produktif," kongsi Encik Zaqy.

PWM ini merupakan antara komitmen pemerintah untuk terus bekerjasama dengan kesatuan sekerja dan para majikan untuk memastikan para pekerja bergaji rendah akan meraih manfaat dan gaji yang lebih baik.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan