Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Waktu tunggu lebih lama di hospital; makan masa sehingga 50 jam untuk masuk wad

Anggaran Waktu Membaca:
Waktu tunggu lebih lama di hospital; makan masa sehingga 50 jam untuk masuk wad

(Gambar: Pembaca CNA)

Diterbitkan : 20 Oct 2022 07:42AM Dikemas Kini : 20 Oct 2022 07:45AM

SINGAPURA: Masa menunggu untuk kemasukan ke hospital melonjak kepada selama 50 jam di sesetengah hospital setakat Rabu (19 Okt), dengan jabatan kecemasan awam di seluruh negara terus menyaksikan jumlah tinggi pesakit. 

Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFH) dan Hospital Besar Sengkang (SKH) antara hospital yang mempunyai masa menunggu sehingga 50 jam, menurut para pekerja jagaan kesihatan serta anggota keluarga pesakit kepada Mediacorp.

Waktu menunggu itu lebih lama berbanding data terkini yang disediakan di laman web Kementerian Kesihatan (MOH), yang menunjukkan bahawa masa menunggu median untuk dimasukkan ke dalam wad dari jabatan kecemasan adalah antara satu jam hingga 24.2 jam pada minggu yang bermula pada 25 September. 

Data bagi masa menunggu di hospital selepas 2 Oktober belum dikeluarkan. 

Mediacorp sudah menghubungi kedua-dua hospital tersebut untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Identiti pekerja jagaan kesihatan yang ditemu bual tidak dikenal pasti kerana mereka tidak dibenarkan untuk bercakap kepada pihak media. 

Seorang doktor muda yang ditemui Mediacorp berkata purata masa menunggu di hospital awam tempat beliau bekerja adalah sekitar satu hari. 

Beliau berkata masa menunggu yang lebih lama mungkin disebabkan gabungan beberapa faktor, termasuk musim demam selesema yang sedang berlaku sekarang serta lonjakan pada kes COVID-19. 

Namun, tambah beliau, hospital-hospital malah sebelum ini sudahpun sibuk dan penuh sesak dengan pesakit. 

Seorang jurucakap MOH memberitahu Mediacorp bahawa jabatan kecemasan menyaksikan jumlah tinggi pesakit sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Walaupun kebanyakan pesakit mengalami keadaan yang tidak berhubung kait dengan COVID-19, jumlah kes jangkitan yang semakin meningkat membuatkan situasi bertambah teruk. 

Menurut jurucakap itu lagi, semua pesakit yang datang ke jabatan kecemasan dinilai dan pesakit tenat akan terus diberikan jagaan keutamaan.

MOH menggesa masyarakat awam agar hanya menuju ke jabatan kecemasan hospital bagi keadaan mendesak. 

"Kami juga merayu kepada semua anggota masyarakat untuk memainkan peranan mereka dalam meringankan tekanan terhadap hospital awam kami dengan mengunjungi doktor swasta (GP) atau poliklinik dahulu jika mereka mengalami gejala pernafasan yang ringan dan/atau keadaan yang tidak mengancam nyawa," tambahnya.  

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan