Skip to main content

Singapura

Waktu operasi JTVC & CVC lebih panjang setiap Sabtu akan dikekalkan hingga Feb 2023

Anggaran Waktu Membaca:
 Waktu operasi JTVC & CVC lebih panjang setiap Sabtu akan dikekalkan hingga Feb 2023
Diterbitkan : 22 Dec 2022 09:01PM
SINGAPURA: Waktu operasi yang dilanjutkan di Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) serta Pusat Vaksinasi Kanak-Kanak (CVC) setiap Sabtu akan dikekalkan sehingga hujung Februari, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (22 Dis).

Bulan lalu, waktu operasi di JTVC dan CVC dilanjutkan dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam berbanding dengan waktu operasi sebelum itu iaitu dari 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari pada setiap Sabtu.
Waktu penutupan lebih lewat dijadual dikekalkan sehingga hujung Disember.

MOH bagaimanapun memutuskan untuk mengekalkan waktu operasi tersebut sehingga hujung Februari selepas menyaksikan permintaan yang tinggi untuk mendapatkan suntikan.

"Kami menggalak orang ramai supaya mengambil kesempatan daripada waktu operasi yang dilanjutkan di pusat-pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan sebaik sahaja mereka layak untuk beruat demikian," menurut kementerian tersebut sambil menambah bahawa mereka yang berusia 50 tahun ke atas boleh mengunjungi mana-mana JTVC untuk mendapatkan suntikan vaksinasi tanpa membuat janji temu.

"Orang ramai diingatkan bahawa waktu kurang sesak adalah dari Isnin hingga Khamis sebelum pukul 6.30 petang dan pada Sabtu selepas pukul 2.00 petang."

Orang ramai dinasihatkan supaya jangan berkunjung semasa waktu sibuk - sepanjang hari Jumaat dan pada pagi Sabtu.

Mereka yang berusia antara 12 hingga 49 tahun akan dipelawa untuk berbuat demikian melalui SMS apabila mereka layak mendapatkan suntikan dan mereka harus menggunakan pautan pada mesej yang dikirimkan untuk membuat janji temu, tambah MOH.

Pada Khamis (22 Dis) MOH turut mengumumkan bahawa vaksin Novavax/Nuvaxovid tidak lagi ditawarkan di poliklinik mulai 25 Disember.

Vaksin itu kini boleh didapatkan di Poliklinik Jurong dan Poliklinik Yishun selain Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) terpilih.

Selepas 24 Disember, vaksin itu hanya boleh didapatkan di PHPC yang menawarkannya.

"Para individu layak yang ingin mendapatkan vaksin itu boleh membuat janji temu di PHPC yang mengambil bahagian," menurut MOH.

Mulai 3 Januari, Poliklinik Jurong akan menawarkan vaksin bivalen Pfizer-BioNTech/Comirnaty buat mereka yang berumur 12 tahun ke atas manakala Poliklinik Yishun pula akan menawarkan vaksin Moderna/Spikevax bagi kanak-kanak yang berusia antara enam bulan hingga empat tahun.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita