Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Waktu operasi JTV, CVC dilanjutkan setiap Sabtu; JVTC Jurong West bakal beroperasi mulai 21 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
Waktu operasi JTV, CVC  dilanjutkan setiap Sabtu; JVTC Jurong West bakal beroperasi mulai 21 Nov

(Gambar: Facebook/Ong Ye Kung)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan melanjutkan waktu operasi di kesemua Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) serta Pusat Vaksinasi Kanak-kanak (CVC) pada setiap hari Sabtu sehingga 7.00 malam, dari 19 November hingga hujung bulan Disember.

Waktu operasi yang baru, iaitu dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam setiap Sabtu, kini sejajar dengan waktu operasi JVTC dan CVC pada hari-hari biasa.

Ini dilakukan untuk memudahkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin.

Demikian menurut MOH dalam satu kenyataan media pada Khamis (17 Nov).

"Kami sudah menyaksikan sambutan menggalakkan dari segi pengambilan vaksin bivalen Moderna/Spikevax dan vaksinasi/penggalak bagi kanak-kanak," tambah MOH.

"Setakat 16 Nov, lebih 186,000 individu sudah menerima dos vaksin Moderna/Spikevax bivalen, atau telah membuat janji temu."

Pusat vaksinasi di bekas Sekolah Menengah Hong Kah di Jurong West akan juga diubah menjadi JVTC mulai 21 November, supaya dapat memenuhi keperluan penduduk di kawasan itu dengan lebih baik.

JVTC di Jurong West bakal menawarkan kedua-dua vaksin bivalen Moderna/Spikevax dan vaksin monovalen Pfizer-BioNTech/Comirnaty.

Sementara itu, JVTC di Bishan, yang menawarkan vaksin Novavax/Nuvaxovid, akan ditutup, dengan hari terakhir ia beroperasi pada 19 November.

Penduduk di kawasan itu boleh terus mendapatkan vaksin bivalen Moderna/Spikevax di JTVC Ang Mo Kio.

MOH menambah bahawa ia akan mengekalkan 10 JVTC aktif untuk memenuhi keperluan penduduk di merata Singapura.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan vaksin Novavax/Nuvaxovid, mereka boleh membuat janji temu di mana-mana 19 PHPC, Poliklinik Jurong dan Poliklinik Yishun mulai 21 November.

Menurut MOH, sekitar 20,000 orang diberi dos vaksin setiap hari.

JANJI TEMU TIDAK DIPERLUKAN UNTUK KUMPULAN TERTENTU

MOH menekankan lagi bahawa mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas boleh datang mana -mana JVTC untuk mendapatkan vaksin tanpa perlu membuat janji temu.

Mereka diingatkan agar datang pada waktu-waktu kurang sibuk iaitu sebelum 6.30 petang dari Isnin hingga Khamis, dan pada setiap Sabtu selepas 2.00 petang. Mereka harus mengelak waktu sibuk sebelah pagi Jumaat dan Sabtu.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, adik-beradik kepada kanak-kanak yang sudah mempunyai janji temu sedia ada dari Isnin hingga Khamis juga boleh mendapatkan suntikan vaksin pada masa yang sama, tanpa membuat sebarang janji temu di CVC.
Ibu bapa diingatkan supaya tiba di CVC selewat-lewatnya pukul 5.30 petang dari Isnin sehingga Khamis, dan perlu membawa dokumen-dokumen pengenalan anak-anak mereka untuk berdaftar.

"Vaksinasi masih kekal sebagai bahagian utama strategi COVID-19 dalam memastikan penduduk kami dilindungi dengan baik daripada jangkitan dan penyakit yang buruk," jelas MOH.

"Individu-individu, termasuk kanak-kanak, digalakkan untuk menerima vaksin COVID-19 yang disarankan bagi mereka sejurus selepas mereka dianggap layak untuk berbuat demikian."

Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi-lokasi JTVC dan CVC, sila kunjungi laman https://www.gowhere.gov.sg/vaccine.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan