Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wakil SG dalam Bintang Kecil RTM 2024, mahu manfaatkan pengalaman perbaiki nyanyian

Peserta cilik, Nur Adrianna Putri, 9 tahun menerima hadiah sagu hati dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 (S$1,545).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tekad penyanyi cilik Nur Adrianna Putri kini semakin bulat untuk menjadi seorang penyanyi dan pelakon profesional selepas meraih pendedahan dan pengalaman menyertai pertandingan Bintang Kecil anjuran RTM di Malaysia.

Penyanyi berusia 9 tahun itu terpilih untuk mewakili Singapura untuk pertandingan yang berlangsung pada Sabtu (21 Sep) di Sarawak.

Dia merupakan peserta termuda dalam pertandingan itu.

Adrianna merupakan antara 14 finalis pertandingan itu yang menghimpunkan para peserta dari rantau ini iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Petikan video persembahan Adrianna Putri di Bintang Kecil RTM 2024

Meskipun pernah menyertai musim kedua pertandingan Juara Mic Junior, pengalaman yang diraihnya kali ini cukup berbeza.

"Saya rasa gembira, seronok dan gementar sedikit kerana ini kali pertama saya bernyanyi bersama pancaragam orkestra 'live' di Malaysia," kongsi Adrianna kepada wartawan Nazirah Jamzuri dan Nurul Sakina Ahmad Arjo.

Dalam pertandingan itu, Adrianna membuat persembahan solo lagu berjudul "Sakit".

Dia juga membuat persembahan berkumpulan bagi lagu tema Bintang Kecil.

"Selepas menyertai Bintang Kecil, perasaan saya menjadi lebih yakin di atas pentas yang besar." tambahnya.

Meskipun tidak menduduki tempat teratas, Adrianna menerima hadiah sagu hati dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 (S$1,545), piala berserta sijil penyertaan dan jongkong emas seberat 1 gram.

Pertandingan itu dijuarai peserta dari Selangor, Nurfarina Farha Abdul Zahir yang memenangi wang tunai RM20,000 (S$6,218).

"Saya ingin menjadi seorang penyanyi dan juga pelakon kerana saya ingin menghiburkan semua generasi dan berbakti kepada masyarakat, negara dan kedua ibu bapa saya," ujar Adrianna.

TIMBA ILMU DAN KEYAKINAN DIRI

Selain dapat membuat persembahan dengan orkestra besar, pengalaman itu juga mematangkan lagi Adrianna dalam mengimbangi jadual yang ketat.

Gambar: Mediacorp
Bagi pertandingan itu, Adrianna dan ibunya perlu berada di Sarawak selama seminggu.

Sepanjang di sana, jadual Adrianna amat padat dengan latihan kerap dilakukan dari pagi hingga ke malam.

Di samping mengikuti latihan vokal dan tarian, dia juga menyertai aktiviti 'berambeh'.

Aktiviti 'berambeh' itu dilakukan untuk mengeratkan ikatan antara peserta-peserta Bintang Kecil.

Dia juga menimba ilmu baharu dan menambah keyakinan diri.

"Saya pelajari bahasa mereka dan saya juga pelajari adat-adat kelakuan di luar negara. Saya juga ada belajar vokal menyanyi," kata Adrianna.

SOKONGAN DARI KELUARGA DAN SEKOLAH

Ibunya, Cik Radiah Md Jamal melahirkan rasa bangga atas pencapaian anaknya.

"Sebagai seorang ibu, saya bangga dengan pencapaian dia. Walaupun usianya semuda sembilan tahun, dia mengatasi segala cabaran-cabaran dengan rela hati dan tangan terbuka," ujar Cik Radiah.
 
Gambar: Nurul Sakina Ahmad Arjo
Beliau juga berkongsi bagaimana beliau menyokong Adrianna sepanjang pertandingan itu.

Untuk memastikan kesihatan yang baik bagi Adrianna menjelang hari pertanding, Cik Radiah perlu menjaga pemakanan dan jadual tidur anaknya.

"Selain daripada itu pun kami suami isteri memberikannya sokongan moral dan bimbingan dari segi kata-kata semangat untuk dia. Adrianna seorang yang tidak mudah putus asa," kata Cik Radiah.

Selain itu, Adrianna juga menerima sokongan daripada guru-gurunya di sekolah.
 
Gambar: Nurul Sakina Ahmad Arjo
"Sebelum kami berlayar ke Sarawak, saya berjumpa bersama cikgu-cikgu sekolahnya dan Adrianna pun minta dari cikgu-cikgu sekolahnya kerja rumah untuk satu minggu yang dia tidak ada di sekolah itu," kongsi Cik Radiah.

"Ada cikgu yang memberinya kerja rumah dan ada cikgu yang memberitahunya bahawa dia patut beri tumpuan sahaja kepada peraduan nyanyiannya. Jadi apabila saya menerima kerja rumahnya, kita akan lengkapkan kerja rumahnya bersama-sama sebelum kami berangkat," tambah Cik Radiah.

Sebelum ini, Adrianna juga pernah berlakon dalam drama Suria 'Mencari Marina' dan membuat persembahan berskala besar seperti Konsert Hari Kebangsaan anjuran bersama Mediacorp dan Taman di Persisiran.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan