Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wake Up Singapore mohon maaf muat naik dakwaan wanita keguguran susuli aduan polis KKH

Anggaran Waktu Membaca:
Wake Up Singapore mohon maaf muat naik dakwaan wanita keguguran susuli aduan polis KKH

Tangkapan skrin catatan Wake Up Singapore yang dimuat naik ke Instagram.

SINGAPURA: Sumber berita alternatif Wake Up Singapore memohon maaf kerana memuat naik dakwaan seorang wanita yang menyatakan dia mengalami pendarahan dan keguguran semasa menunggu selama empat jam di jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E) Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH). 

"Kami kini sedia maklum bahawa kami mungkin diberikan maklumat palsu," menurut Wake Up Singapore dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke platform media sosial pada petang tadi (25 Mac). 

Laman berita alternatif itu memuat naik catatan ke Instagram pada pukul 5.10 petang, yang mengandungi petikan skrin perbualan dengan wanita yang tidak mendedahkan identitinya, yang menyatakan bahawa "ingatannya tidak benar". 

Wanita itu menyatakan bahawa beliau menghantar "beberapa perkara dalam keadaan marah pada waktu itu" kerana sedang menderita akibat keguguran yang dialami sebelum ini di bawah jagaan hospital tersebut.

Wake Up Singapore menyatakan wanita itu mengaku menyusuli aduan polis yang dibuat oleh KKH. 

"Kami kini menyedari bahawa rekod panggilan, invois dan perbualan semuanya mungkin sudah dipalsukan," menurutnya. 

Dakwaan yang menyatakan dia mengalami keguguran apabila tidak dilayan selama beberapa jam sudah tersebar luas di media sosial. 

"Sejak kami menerima kisah itu, kami sudah mengorak langkah untuk mengenal pasti akaunnya (kami sudah meminta bil dan sebarang komunikasinya dengan KKH) dan memuat naik kisah itu seperti mana yang diberitahu kepada kami." 

Tambah Wake Up Singapore, wanita itu mengirim mesej kepada pihaknya dengan nama betul, pekerjaan dan juga akaun Instagramnya. 

Wake Up Singapura menarik perhatian bahawa ia memastikan wanita itu sedia maklum dengan perkembangan terkini dan kenyataan media KKH serta pertanyaan yang ditujukan kepada pihak hospital di tengah-tengah permintaan berulang wanita itu untuk tidak mendedahkan identitinya. 

Wake Up Singapore menyatakan bukan tujuannya untuk "menjatuhkan maruah sesiapa" atau menyebar berita palsu dan ia "menghormati para kakitangan jagaan kesihatan". 

Menerusi komen di catatan di Facebooknya tentang isu tersebut, Wake Up Singapore menambah bahawa wanita itu memberitahu pihaknya: "Bukti itu tidak dipalsukan. Sebaliknya, cerita saya tidak tepat dengan apa yang berlaku, tiada keguguran pada hari itu". 

"Kami sebenarnya tidak tahu apa-apa lagi. Oleh itu, kami akan menghentikannya di sini. Kami memohon maaf sekali lagi...," tambahnya. 

Wake Up Singapore menyatakan ia akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan siasatan. 

Awal hari ini (25 Mac), Wake Up Singapore memuat naik catatan yang mendakwa hospital tersebut sudah bercakap dengan wanita itu menerusi panggilan telefon sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak dapat mengenal pasti pesakit berkenaan, meskipun hospital itu "berusaha sedaya upaya". 

Peristiwa itu menyusuli kejadian di mana seorang wanita hamil sembilan bulan kehilangan bayinya apabila tidak dilayan selama sekitar dua jam sedang dia mengalami pendarahan semasa berada di jabatan A&E Hospital Universiti Nasional (NUH). 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan