Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wakaf Masyarakat Singapura hampir selesai ditubuhkan; ikrar derma termasuk S$2.2 juta daripada Salleh Marican

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Maklum balas masyarakat terhadap Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) amat menggalakkan.

Demikian kongsi Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli di Majlis Perjumpaan Hari Raya anjuran para Anggota Parlimen Melayu/Islam pada Jumaat(28 Apr).
Dalam memberikan perkembangan terkini dana wakaf itu, Encik Masagos berkata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sudah hampir selesai menubuhkan WMS bahkan sudahpun mendampingi masyarakat untuk meningkatkan kesedaran tentang wakaf dan alat-alat perancangan harta peninggalan.

"Saya sangat gembira ramai menyokong visi wakaf untuk menampung keperluan keagamaan masa depan masyarakat Islam kita dan institusi-institusinya. Pokok dana ini akan dikekalkan dan dilaburkan sepenuhnya. Ia akan menjana pendapatan yang akan disalurkan kepada penerima WMS. Pada masa yang sama, sukacita saya mengumumkan bahawa beberapa individu telah tampil untuk berikrar kepada WMS. Ini adalah langkah penting dalam memastikan masyarakat kita mantap lantas mampu menampung keperluan jangka panjang kita,," kongsi beliau.

Encik Masagos melahirkan penghargaan beliau kepada dua penderma yang telah membuat ikrar kepada WMS.

Antaranya, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties, Encik Salleh Marican yang mengikrarkan S$2,222,222.

Encik Salleh, kata Encik Masagos percaya bahawa golongan yang lebih berkemampuan harus tampil menyumbang dan menyokong keperluan masyarakat.

Beliau tidak teragak-agak untuk mengetepikan sebahagian asetnya demi membantu merealisasikan visi jangka panjang wakaf tersebut.

Seorang lagi ialah seorang pesara berusia 72 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Kasmani.

Encik Kasmani dan keluarganya bersepakat untuk menyumbang sebahagian daripada simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) beliau kepada WMS kerana mahu aset yang telah dikumpulkan semasa beliau sihat digunakan bagi tujuan amal di dunia dan juga sebagai saham akhirat.

TAMPUNG PENDANAAN JANGKA PANJANG

Penubuhan WMS diumumkan di perjumpaan Hari Raya yang sama tiga tahun lalu.

Ia bertujuan menampung pendanaan jangka panjang khususnya untuk institusi-institusi keagamaan, pembangunan asatizah serta program-program masyarakat Melayu/Islam.

WMS akan membolehkan lebih ramai lagi individu meninggalkan harta buat generasi seterusnya agar masyarakat kekal mandiri dan menjadi lebih mantap.

"Wakaf terawal yang dicatatkan di Singapura adalah pada awal abad ke-19. Para dermawan tempatan kita mewakafkan tanah dan hartanah mereka demi memanfaatkan masyarakat am, sekaligus menyemai benih bagi membina dana jangka panjang untuk institusi-institusi agama dan golongan kurang bernasib baik.

"Mereka cukup yakin bahawa mereka bukan sekadar mendermakan aset, tetapi sebenar-benarnya meninggalkan harta yang akan terus membantu orang lain walaupun setelah mereka meninggal dunia dan mendapat pahala berkekalan hingga ke akhirat. Sayangnya, wakaf terakhir yang dicatat di Singapura adalah beberapa dekad lalu pada tahun 1978, oleh Shaikh Taha Abubakar Mattar bagi tapak Masjid Sallim Mattar." kata Encik Masagos.

Encik Masagos menyeru agar masyarakat Melayu/Islam
menghidupkan semula semangat berwakaf dengan menyumbang kepada WMS.

Sesiapa yang berminat untuk membuat ikrar kepada WMS, atau mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari laman web OurWakaf.sg atau menghubungi MUIS secara langsung.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan