Wakaf Masyarakat Singapura dilancarkan; terima ikrar derma S$3.8 juta
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) secara rasmi melancarkan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) pada Sabtu (3 Ogos).
Ia menandakan permulaan penting untuk mewujudkan sistem pendanaan mampan bagi memenuhi keperluan sosio-agama jangka panjang masyarakat Islam di Singapura.
MUIS menyatakan ikrar derma berjumlah S$3.8 juta berupa wang tunai, dalam bentuk penamaan CPF dan juga insurans sudah diterima setakat ini.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam ucapannya di majlis pelancaran WMS di Masjid Muhajirin pada Sabtu (3 Ogos) berkata WMS adalah satu huraian inovatif bagi menyediakan dana sokongan yang lebih mampan untuk masyarakat.
SEDIAKAN PEMBIAYAAN BERTERUSAN PENUHI KEPERLUAN MASA DEPAN MASYARAKAT ISLAM SG
Dana endowmen yang pertama kali diumumkan pada 2020 itu akan menyediakan pembiayaan berterusan bagi memenuhi keperluan masa depan masyarakat Islam di Singapura.
Ini termasuk pembaharuan pajakan masjid dan pembangunan asatizah.
"Bagi WMS, matlamat dan penerima ditetapkan oleh Majlis Tertinggi MUIS secara muafakat dan bukan para penyumbang atau individu yang meninggalkan harta tersebut. Saya telah meminta para asatizah kita membantu menerangkan dengan lebih lanjut konsep dana WMS kepada masyarakat supaya kita faham bagaimana ia juga adalah sedekah jariyah yang berkekalan pahalanya kerana penggunaan dan penyelenggaraannya," ucap Encik Masagos.
Dalam pada itu, Encik Masagos berharap ini dapat menjadi pemangkin bagi perancangan kewangan masyarakat dan keluarga mereka.
"Saya harap kita mula merancang supaya harta yang kita kumpul cukup untuk keperluan kita, keluarga dan juga untuk masa persaraan nanti. Atas sebab itulah kita juga melibatkan penasihat kewangan dalam mempromosikan WMS," tambahnya.
PERUNTUKKAN SEBAHAGIAN ASET KEPADA WMS MELALUI WASIAT DAN PENAMAAN CALON ASET CPF
Encik Masagos juga berkata "adanya harta yang bermakna, kita harus selalu bersedia dengan wasiat bertulis" mengikut amalan para sahabat Nabi yang tidak hanya bergantung kepada pembahagian harta melalui Faraid.
"Selain wasiat, kita ada banyak kaedah pemberian harta pusaka serupa yang boleh dimanfaatkan untuk sesiapa sahaja setelah kita tiada kelak, seperti penamaan atau nominasi untuk aset CPF kita, atau bayaran keluar insurans. Kesemua alat ini sejajar dengan prinsip Syariah, dan Fatwa dari Pejabat Mufti yang menetapkan penamaan sebagai ‘Hibah’ atau hadiah," menurut Encik Masagos.
"Selain anggota keluarga, saya sangat berharap kita dapat memperuntukkan sebahagian aset kita kepada WMS melalui wasiat dan penamaan, agar kita mendapat pahala berkekalan hingga ke akhirat," tambah beliau.
MENAMPUNG KEPERLUAN JANGKA PANJANG MASYARAKAT
WMS sebagai wakaf kolektif yang dibentuk hasil sumbangan masyarakat Islam setempat, akan dapat menampung keperluan jangka panjang masyarakat.
Ini termasuk bayaran pajakan semula tanah masjid dan madrasah serta program pembangunan asatizah masa depan yang tidak ditampung dana-dana sedia ada.
Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar berkata: "Tujuannya adalah untuk menghidupkan semula tradisi wakaf yang telah wujud di sisi masyarakat semenjak lama tapi tujuan utama wakaf WMS adalah untuk memastikan bahawa wakaf ini, dana ini mudah untuk diakses oleh masyarakat. Jadi segenap lapisan masyarakat boleh menyumbang kepada dana ini, tiada dana yang kecil mahupun besar."
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat MUIS, Encik Shamsul Hadi Jangarodin turut berkongsi bahawa WMS merupakan salah satu wakaf yang ditadbir oleh MUIS dan akan melengkapi dana-dana masyarakat yang sudah sedia ada.
Ia bermakna WMS tidak akan menggantikan dana masyarakat lain itu.
"Buat masa ini, kita mempunyai dana-dana sedia ada seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) dan juga dana zakat untuk membantu membangunkan masyarakat kita dari segi program dan juga inisiatif. Namun, dana-dana ini semua bersifat semasa. Ianya digunakan untuk keperluan operasi dan untuk jangka masa sekarang ini," jelas Encik Shamsul.
"Jadi kita memperkenalkan satu lagi dana di mana ia lebih bersifat jangka masa panjang di mana dana-dana yang dikumpulkan daripada masyarakat itu akan dilaburkan dan hanya pulangan daripada dana tersebut yang akan diagihkan kepada penerima wakaf tersebut. Jadi apa yang kita rasakan dengan adanya sistem pendanaan yang berlainan ini, ia membantu masyarakat kita untuk lebih bersedia untuk memenuhi keperluan jangka masa panjang di atas dana-dana sedia ada yang dapat digunakan untuk keperluan semasa," tambahnya.
DUA MEKANISME UNTUK BUAT SUMBANGAN
Sumbangan boleh dibuat dengan dua cara.
"Seseorang itu boleh menyumbang kepada WMS sekecil S$10 dan menerusi laman kami iaitu www.wakaf.sg. Namun, selain daripada sumbangan-sumbangan wang tunai, kami juga menyediakan peluang di mana masyarakat kita boleh menyumbang dari segi sumbangan yang dirancang,"
"Sumbangan yang dirancang ini biasanya timbul daripada seseorang membuat perancangan legasi seperti menulis wasiat seperti juga membuat nominasi ataupun penamaan CPF dan juga insurans dan dari segi itu, kita membolehkan masyarakat mengetepikan sebahagian daripada aset legasi mereka khusus untuk sedekah jariyah," kata Encik Shamsul lagi.
WMS kini ditarbirkan oleh panel Jawatankuasa Sementara WMS yang diketuai oleh Encik Bahren Shaari.
Terdapat juga instrumen yang dipasang bagi menjaga dan menguruskan WMS dengan lebih baik dan teratur lagi.
"MUIS telah meletakkan instrumen-instrumen yang diperlukan supaya sebarang kutipan dana itu datang dan hasil daripada kutipan dana itu dapat diketahui supaya kita dapat menyekat sebarang salah guna wadah tersebut bagi dana-dana yang tidak kita inginkan," ujar Encik Shamsul.
PERLUKAN USAHA KOLEKTIF, LEBIH BERMAKNA APABILA LIBATKAN PELBAGAI INSTITUSI
Inisiatif itu dialu-alukan oleh Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (PERGAS).
"Bagi PERGAS, Insya-Allah, kita memberi komitmen kita untuk menyokong dari sudut dana dan daripada situ juga kerana anggota PERGAS adalah dalam kalangan asatizah, jadi kita boleh membantu dari segi memikirkan bagaimana ataupun apakah wadah-wadah yang terbaik untuk kita terus memikirkan tentang kaedah-kaedah ataupun bentuk pembangunan khusus bagi golongan asatizah ini," kongsi Setiausaha Kehormat, PERGAS, Ustazah Dr Siti Nur Alaniah Abdul Wahid kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Kita memerlukan usaha yang secara kolektif dan ianya tidak boleh dilaksanakan hanya dengan satu individu ataupun satu institusi, tetapi ia mungkin lebih bermakna apabila ianya melibatkan beberapa instutusi yang lain untuk bergabung dalam menjayakan inisiatif ini," tambahnya.
Pelancaran WMS pada hari ini juga menandakan bermulanya Bulan Wakaf sepanjang bulan ini untuk meningkatkan kesedaran mengenai bagaimana lebih ramai anggota masyarakat Islam di sini boleh mewakafkan harta mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.