Wajib guna hanya app atau token TraceTogether untuk SafeEntry mulai 1 Jun
Mulai 1 Jun, SafeEntry yang hanya menggunakan aplikasi atau token TraceTogether sahaja yang dibenarkan di semua lokasi berisiko tinggi.
SINGAPURA: Mulai 1 Jun, hanya SafeEntry yang menggunakan aplikasi atau token TraceTogether sahaja yang dibenarkan di semua lokasi berisiko tinggi.
Ini bermakna, kaedah SafeEntry selain TraceTogether tidak akan digunakan lagi di tempat-tempat tersebut.
Lokasi di mana SafeEntry menggunakan aplikasi atau token TraceTogether sahaja akan diwajibkan adalah yang menerima jumlah tinggi pengunjung - seperti pusat-pusat beli-belah, tempat-tempat kerja, rumah-rumah ibadat dan sekolah-sekolah - atau di mana orang ramai berkemungkinan berada dalam jarak dekat antara satu sama lain bagi tempoh yang panjang - seperti di restoran dan gim.
Hanya aplikasi atau token TraceTogether akan diterima di lokasi-lokasi tersebut, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) hari ini (22 Apr).
Kaedah lain SafeEntry, seperti pengimbas kod QR daripada kamera telefon bimbit, aplikasi SingPass dan mengimbas barkod pada kad pengenalan, tidak akan digunakan lagi.
Kedai-kedai runcit besar dan pasar raya dalam pusat beli-belah tidak lagi memerlukan SafeEntry.
"Ini kerana semua pengunjung sudah melakukan SafeEntry menggunakan (aplikasi atau token) TraceTogether sahaja di pintu-pintu masuk pusat beli-belah dan interaksi di semua lokasi dalam pusat beli-belah lazimnya bersifat sementara," menurut kenyataan media itu.
Kedai-kedai runcit lebih kecil seperti farmasi, kedai serbaneka dan kedai-kedai bawah blok tidak diperlukan melaksanakan SafeEntry bagi para pelanggan mereka, tetapi tetap melakukannya secara sukarela, juga perlu menurunkan kod QR di kedai mereka untuk lebih memudahkan para pelanggan, tambah pihak berkuasa.
SafeEntry menggunakan aplikasi atau token TraceTogether sahaja itu juga diperlukan di upacara dan majlis-majlis perkahwinan, upacara persemadian atau pengebumian, prasekolah dan pusat-pusat jagaan pelajar serta kemudahan-kemudahan khidmat jagaan kesihatan.
Menurut MOH dan SNDGG, program TraceTogether dan SafeEntry adalah wadah penting digital yang membolehkan para pengesan kontak untuk segera mengenal pasti dan mengasingkan kontak rapat kes COVID-19.
"Ini membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan dan mencegah penularan dalam kalangan masyarakat sedang lebih banyak kegiatan disambung semula. Sedang data TraceTogether mengenal pasti senarai awal kontak rapat, data SafeEntry pula menyediakan senarai tempat yang dikunjungi oleh kes COVID-19 untuk membantu para pengesan kontak menentukan hubung kait kelompok."
Menurut MOH dan SNDGG, penggunaan serentak kedua-dua wadah digital itu membolehkan rakyat Singapura untuk mengurangkan tempoh purata yang diambil untuk mengesan kontak dari empat hari kepada kurang satu setengah hari.
"Baru-baru ini, TraceTogether sudah membantu mengenal pasti 75 orang yang dikuarantin tetapi mungkin tidak dikesan menerusi proses manual pengesanan kontak.
"Ini penting demi memastikan kesan daripada sebarang kes yang dikenal pasti dalam kalangan masyarakat segera dibendung, dengan kadar penularan yang sangat kecil. Dengan penggunaan lebih aktif TraceTogether, proses pengesanan kontak boleh dipertingkat. Ini paling penting di lokasi-lokasi atau tempat-tempat di mana penularan dalam kalangan masyarakat mungkin berlaku," tambah MOH dan SNDGG.
Sejauh inil, lebih 90 peratus penduduk sudah memuat turun aplikasi TraceTogether dan/atau mendapatkan token TraceTogether, menurut MOH dan SNDGG.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.