Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wahid Satay dikenang sebagai bapa tegas dan rakan disenangi

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tanggal 1 Syawal yang baru berlalu adalah Hari Raya Aidilfitri yang akan dikenang dengan penuh erti oleh keluarga besar seniman legenda Abdul Wahid Ahmad atau lebih dikenali sebagai Wahid Satay. 

Ini meskipun keadaan kesihatan beliau sudah merosot kebelakangan ini. 

"Kami sangat kagum waktu Hari Raya itu dia bersemangat untuk berjumpa dengan saudara cuma kami dapat pergi hanya empat rumah. Dari situ dia agak lelah, dari situ kita hantar dia ke balik rumah," kata Cik Maryana Abdul Wahid, anak ketiga Almarhum Wahid Satay.

Almarhum selamat dikebumikan di Pusara Aman pada petang Isnin (22 Mei) setelah menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi pada usia 93 tahun.

(Gambar: Nurfazirah Azman/BERITAmediacorp)

Meskipun lemah sejak dimasukkan ke hospital pada 3 Syawal lalu, Almarhum masih rancak berbual dengan anggota keluarganya sehingga sekitar seminggu lalu.

TEGAS DENGAN DISIPLIN

Dikelilingi orang-orang tersayang di hujung hayatnya, Almarhum lebih terdahulu seorang bapa yang amat dihormati.

"Dia agak tegas dengan keluarganya seperti dengan anak-anak, dia amat disiplin. Jadi saya berterima kasih. Sungguhpun dia pelawak hakikatnya dia seorang ayah, seorang yang berpegang kepada agama dan pada anak-anak dia, itu MasyaAllah saya tidak boleh nafikan yang dia adalah seorang ayah yang bertanggungjawab, tambah Cik Maryana kepada BERITAmediacorp.

Pada ramai dalam industri seni, Wahid Satay lebih masyhur dengan satu lagi sisinya.

Seorang insan yang tidak pernah gagal mengukir senyuman pada wajah rakan-rakan seperjuangan. 

Bakatnya sebagai bintang Cathay Keris Productions bukan hanya dalam bidang lakonan tetapi juga nyanyian. 

"Baiklah Abang Wahid ini kan, suka berkelakar dan kalau kita ada persembahan ini dia selalu "tak apa, adik-adik ni duduk dulu, biar dia nyanyi sendiri". Orang nyanyi tiga lagu dia sekali arung dia boleh bernyanyi jadi kita suka dengan dia gitu, kata penyanyi era 60-an dan 70-an Sanisah Huri.

Beliau pernah membuat persembahan dengan Almarhum Wahid Satay di Malaysia ketika Almarhum membintangi filem-filem Cathay Keris Productions.

TIDAK BERKIRA DALAM BEKERJA

Kucupan daripada keluarga dan sahabat handai mengiringi perjalanan terakhir permata seni yang sukar dicari ganti itu.

Malah beliau disifatkan antara segelintir pelawak berbakat semula jadi.

(Gambar: Nurfazirah Azman/BERITAmediacorp)

"Hanya ada beberapa orang pelawak yang boleh bertahan tapi Pak Wahid bertahan sampai tahun 90-an, bila arwah Mak Momok meninggal, baru dia perlahan sikit," kata Encik Mockram Kassim, Mantan Ketua Bahagian Melayu Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC). 

Encik Mockram turut memuji sikap Almarhum yang tidak berkira bila bekerja. 

Beliau mendapatkan Almarhum untuk berlakon dalam banyak penerbitannya. 

"Waktu kami bekerja bersama, memang dia tak mengira berapa bayarannya ke apa. Pada bila-bila masa juga saya panggil, dia akan datang. Sangat bekerjasama," jelas Encik Mockram.

Seorang lagi rakan yang mengenali Almarhum sewaktu penyiaran Radio Televisyen Singapura (RTS) dan SBC juga mengenang beliau sebagai seseorang yang lucu dan disenangi. 

"Saya cuma ingat arwahnya main bola dengan pasukan artis Singapura dalam piala dengan artis Singapura dan artis Malaysia. Kami main di stadium Kuala Lumpur dan juga di stadium Singapura," kata Encik Aziz Hanif, mantan penerbit RTS dan SBC kepada BERITAmediacorp.

Almarhum Wahid Satay meninggalkan enam anak dan belasan orang cucu. 

(Gambar: Nurfazirah Azman/BERITAmediacorp)
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan