Wadah baru BERITAmediacorp buka ruang belia kongsi cetusan karya, sumbang pendapat & timba ilmu
BERITAmediacorp menyediakan wadah baru untuk para belia, khususnya dari Institut Pengajian Tinggi berkongsi karya dan menyumbang sentuhan daya kreatif mereka dalam apa juga bentuk.
SINGAPURA: BERITAmediacorp menyediakan wadah baru untuk para belia, khususnya dari Institut Pengajian Tinggi berkongsi karya dan menyumbang sentuhan daya kreatif mereka dalam apa juga bentuk.
Satu perjumpaan untuk memperkenalkan wadah Nadi Kampus diadakan siang tadi (26 Mac).
Berkongsi bakat, menyumbang pendapat serta menimba ilmu.
Semua itu dapat dilakukan para belia dalam satu wadah sehenti yang baru khusus buat mereka.
"Nadi Kampus" merupakan ciri terbaru dalam portal BERITAmediacorp.
"Nadi Kampus ini sebenarnya dipelopori oleh BERITAmediacorp tapi yang membina adalah komuniti ini sendiri, komuniti belia Singapura yang mempunyai identiti, yang mempunyai inspirasi, yang mempunyai ciri-ciri tersendiri dan mereka harus memiliki Nadi Kampus ini. Ini milik mereka, hanya dipelopori oleh BERITAmediacorp," kata Ketua Editor BERITA & Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Sujadi Siswo.
Dalam majlis perjumpaan bersama para belia siang tadi, beberapa ciri khas portal itu diperkenalkan.
Ia termasuk Karya Pelajar, ePustaka, BeliaSG dan Nota Aksara.
Dalam beberapa bulan akan datang, beberapa lagi ciri baru akan diperkenalkan seperti Kerenah Kampus dan Podcast Kampus.
Selain berinteraksi di wadah online, beberapa acara fizikal seperti sesi dialog dan forum bakal dianjurkan buat para belia.
"Saya rasa inisiatif yang terbaru ini dapat memberi peluang kepada para pelajar dari IHL untuk menonjolkan bakat-bakat terpendam mereka," kata mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang, 'Izzul Amirullah Rosli.
"Nadi Kampus memberikan satu wadah yang sangat-sangat baik bagi belia untuk berkongsi pandangan dan juga untuk memperbaiki mungkin cara mereka mengutarakan pandangan mereka agar dapat diterima oleh setiap lapisan masyarakat dan saya berharap agar dengan ini ia dapat melakukan perubahan mungkin dalam masyarakat dari segi pemikiran intelektual, pembangunan budaya dan sebagainya," kata mahasiswa Universiti Nasional Singapura, Nur Hikmah Md Ali.
"Saya teruja dengan pelancaran Nadi Kampus. Melalui wadah ini, belia-belia dapat berkongsi tentang isu-isu yang dekat di hati seperti isu mental, sukan dan juga kemampanan," kata Atlet Paralimpik Angkat Berat, Nur 'Aini Yasli.
Sekitar 40 belia dari pelbagai latar belakang menghadiri sesi hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.