Skip to main content

Singapura

VTL S'pura-M'sia rancakkan semula hubungan negara, rakyat kedua-dua negara

Pengenalan VTL Singapura-Malaysia bermula 29 Nov ini dijangka menghidupkan dan merancakkan semula hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengenalan VTL Singapura-Malaysia bermula 29 Nov ini dijangka menghidupkan dan merancakkan semula hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Bagi rakyat Singapura yang menetap di Malaysia pula, ini juga peluang untuk mereka mengeratkan semula hubungan kekeluargaan di tanah air sendiri, selepas hampir dua tahun berjauhan.

Antara warga Singapura paling gembira mendengar pelaksanaan VTL Singapura-Malaysia ialah Dr Zarina Gurrahman.

Related article image
Rakyat Singapura di Malaysia, Dr Zarina Gurrahman. (Gambar: Dr Zarina Gurrahman)

Penyelidik dan usahawan rakyat Singapura yang sedang menetap di Kuala Lumpur itu sudah dua tahun tidak dapat pulang kerana pelbagai sekatan COVID-19 di kedua-dua negara.

Ini reaksi spontan beliau apabila ditanya perasaannya dapat pulang ke Singapura tanpa dikenakan kuarantin:

"Subhanallah memang saya sangat teruja, memang saya nanti-nantikan nak balik ke Singapura. Saya rindukan Singapura dan saya rindukan makanan Singapura, saya rindukan keluarga-keluarga saya di Singapura.

"Saya akan ke Geylang Serai. Makanan-makanan Singapura memang tak dapat di Malaysia, tak sama. Jadi itulah destinasi pertama saya selain daripada melawat keluarga. Saya rindukan nasi rawon, nasi sambal goreng, mi siam berkuah," luah Dr Zarina dengan begitu gembira dalam wawancara menerusi Zoom kepada BERITAmediacorp hari ini (11 Nov).

RINDUKAN GELAK KETAWA BERSAMA AHLI KELUARGA

Menurut Dr Zarina, beliau bercadang terbang ke Singapura pada 5 Disember ini - iaitu pada minggu pertama VTL Singapura-Malaysia dilancarkan.

Orang yang paling dirinduinya untuk bertemu di Singapura ialah kakak beliau yang pernah menjaganya. Menurut Dr Zarina, walaupun mereka sering berhubungan menerusi panggilan video sejak pandemik bermula, ini masih tidak cukup puas, tegas beliau.

Related article image

"Keluarga kami kalau berkumpul itu memang gelak ketawa masya-Allah itu yang saya rindukan sangat. Saya sebenarnya dah beli-belah dulu untuk kakak saya, untuk adik-beradik saya," kongsi beliau.

Dr Zarina mengaku bahawa beliau berasa sedikit terganggu dek tidak dapat bergerak seperti sediakala dalam tempoh pandemik COVID-19 dan pulang ke Singapura walaupun perlu.

"Kerana apa-apa kematian, ada yang sakit, saya tak boleh melawat dari sini. Jadi pembukaan ini memberi ruang," ujar beliau.

JOHOR HARAP JALAN DARAT JUGA DIBUKA SERENTAK SEMPENA VTL 29 NOV

Dr Zarina sejak hampir dua tahun lalu juga aktif memberi makanan percuma kepada golongan gelandangan di sekitar Chow Kit Road di Kuala Lumpur.

Related article image
Dr Zarina Gurrahman memberi makan kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

Kerja-kerja kebajikan sukarela itu juga beliau lakukan di Johor Bahru baru-baru ini. Ketika berada di sanalah, beliau dapat melihat keadaan "muram" di negeri paling hampir dengan Singapura itu.

"Saya melihat sendiri baru-baru ini saya ke Johor, Johor itu seperti 'ghost town', kerana tak ada rombongan orang-orang Singapura yang memasuki Johor. Orang Malaysia juga menunggu-nunggu untuk pulang bekerja di Singapura," kata beliau.

Di sinilah pembukaan sempadan antara Singapura dengan dijangka dapat merancakkan kegiatan ekonomi Johor.

Kerajaan negeri Johor sendiri hari ini (11 Nov) berharap jalan darat VTL Malaysia-Singapura menerusi Tambak Johor dan Laluan Kedua (Linkedua) dapat dibuka serentak dengan laluan udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bermula pada 29 November ini. 

"Kerajaan Negeri telah menggambarkan kepada kerajaan (Persekutuan) supaya pengumuman tarikh bermula VTL (jika boleh) dapat disekalikan dengan laluan darat. Mungkin jumlah (individu) yang keluar masuk tidaklah seperti mana yang diharapkan iaitu antara 200 hingga 500 sehari pun sudah memadai untuk kita mulakan," kata Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad seperti dilaporkan Bernama.

TIKET PESAWAT MAS DARI KL

Tinjauan BERITAmediacorp ke laman Malaysia Airlines mendapati, tiket penerbangan sehala dari KL ke Singapura pada minggu pertama VTL dibuka ialah sekitar RM280 atau sekitar S$90.

Sejauh ini enam penerbangan harian dirancangkan antara Singapura dengan KL bagi skim VTL ini.

Turut mahu memanfaatkan faedah daripada skim VTL itu ialah Pulau Pinang.

Semalam kerajaan negeri tersebut menyuarakan harapan agar kerajaan persekutuan turut memasukkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di bawah skim VTL Singapura-Malaysia.

Yang pasti, VTL Singapura-Malaysia merupakan permulaan baik untuk menuju penyambungan hubungan sosial dan ekonomi secara lebih luas lagi sedang kedua-dua negara memasuki fasa endemik.

"Pembukaan ini memberi ruang dan memberi ramai yang mungkin ada keluarga di sana atau orang Singapura yang ada keluarga di Malaysia (supaya) perhubungan itu dieratkan kembali," kata Dr Zarina lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita