Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

VTL S'pura-KL: Nyaris terlepas pesawat gara-gara kelewatan hasil ujian PCR di KLIA

Lebih 1,300 penumpang yang sudah lengkap divaksin berlepas dari Singapura ke Kuala Lumpur hari ini (29 Nov) pada hari pertama VTL Udara antara Singapura dengan Malaysia dimulakan.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Lebih 1,300 penumpang yang sudah lengkap divaksin berlepas dari Singapura ke Kuala Lumpur hari ini (29 Nov) pada hari pertama VTL Udara antara Singapura dengan Malaysia dimulakan.

Pendaratan dan ketibaan pesawat pertama VTL iaitu Singapore Airlines SQ108 dari Singapura disambut dengan cukup meriah. Iaitu disambut dengan pancuran air di dataran Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sebaik sahaja pesawat itu mendarat dan para penumpang disambut dengan persembahan tradisional dan beg cenderamata.

Bagaimanapun sebaik sahaja menjejakkan kaki di Ruang Ketibaan KLIA, para penumpang keliru dengan sebahagian proses yang dilalui mereka tidak begitu licin.

(Gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

"Bila tibanya di terminal Kuala Lumpur saya agak terganggu sedikit kerana terlalu ramai orang kerana penerbangan penuh dan perjalanan untuk pergi ke satu tempat ke satu tempat tidak begitu mudah kerana terlalu banyak orang. Walaupun pegawai di sini ramah dan tamah tetapi alirannya tidak begitu baik, mungkin saya rasa ini hari yang pertama," luahan rasa salah seorang penumpang SQ108, Sheikh Ala'uddin.

Untuk proses ujian PCR di KLIA misalnya, ada penumpang yang kurang senang kerana tidak mendapat hasil ujian itu tepat pada masanya walaupun sudah membayar tambahan sekitar $30 bagi mendapatkannya dalam masa satu jam.

Ini berbanding harga biasa di mana penumpang akan mendapatkan hasil PCR selepas tiga jam.

Kelengahan itu hampir-hampir menyebabkan ada yang ketinggalan pesawat seterusnya bagi menyambung perjalanan ke negeri lain di Malaysia.

Namun demikian pihak KLIA mengalu-alukan maklum balas dari pihak penumpang bagi melicinkan lagi proses VTL itu pada masa akan datang.

(Gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

"Kita akan memperbaiki dari masa ke semasa mungkin sekiranya ada halangan-halangan yang melambatkan proses itu dan kita akan kemukakan kepada pihak berwajib berkaitan," kata Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd, Dr Zambry Abdul Kadir.

Tinjauan BERITAmediacorp mendapati ramai yang ke Kuala Lumpur ini adalah atas urusan kerja, walaupun ada penumpang yang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk sekadar bertemu keluarga di sana.

Biaya bagi ujian PCR sahaja hampir S$500 dan harga tambang pesawat melambung naik kerana permintaan tinggi, ada sehingga hampir S$700 bagi perjalanan dua hala.

"Bagi saya, sebab kerja, kan? Kita punya majikan yang bayar, kita punya syarikat yang bayar jadi saya tak terkesan sangat tapi kalau kita sendiri yang bayar, ia sedikit mahal," kata Cik Asiah Mohamed Zain, salah seorang penumpang pesawat tersebut.

Namun demikian, destinasi Cik Asiah sebenarnya bukan Kuala Lumpur tapi sebaliknya Johor Bahru iaitu seberang tambak sahaja dari kota Singa.

"Sebab masa sebelum diumumkan VTL (darat), syarikat saya sudah buat persiapan, tempah tiket pesawat dan tempat penginapan," terang Cik Asiah.

(Gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

Cik Asiah Mohamed Zain (Gambar-gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

Aturan VTL darat hanya disahkan dan diumumkan oleh pihak Singapura pada 24 November lalu dan VTL udara pula pada 8 November.

Sebanyak enam penerbangan VTL dari Singapura dijadualkan ke KLIA hari ini.

Pihak KLIA berharap jumlah itu dapat ditambah dalam minggu-minggu mendatang, walaupun kini timbul ancaman penularan varian baru COVID-19, iaitu Omicron.

Meskipun timbul keprihatinan tentang varian tersebut, para penumpang VTL yang ditemui rata-rata tidak bimbang kerana yakin terhadap protokol-protokol keselamatan yang ditetapkan kedua-dua negara, Singapura dan Malaysia. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan