Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

VTL Darat S'pura-M'sia lancar di hari pertama meski ada sedikit kegenjotan

Pelaksanaan skim Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin atau VTL Darat dari Singapura ke Johor Bahru rata-rata berjalan lancar dan baik pada Isnin (29 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelaksanaan skim Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin atau VTL Darat dari Singapura ke Johor Bahru rata-rata berjalan lancar dan baik pada Isnin (29 Nov).

Antara mereka yang beratur sejak jam 6.00 pagi lagi ialah Encik Bali Anak Jalang, 36 tahun, yang lebih setahun tidak pulang ke Johor Bahru.

Encik Bali berkata: "Perasaan itu tidak boleh nak cakap apa-apa lagi, sebab sudah lama sekali tidak balik tetapi saya tidak balik lama sangat, untuk satu minggu sahaja."

"Kalau nak cakap gembira dan gementar, memang saya pun ada gementar juga. Saya datang awal sekali sebab saya takut saya tertinggal bas. Dan semalam pun saya tidak dapat tidur baik sangat," tambahnya lagi.

Encik Bali juga berkata dirinya agak bernasib baik kerana dapat membeli tiket bas apabila laman pembelian tiket dibuka pada pagi Khamis (25 Nov). Beliau menggunakan tiga buah komputer untuk meningkatkan peluangnya melepasi ruang menunggu.

Namun ternyata, Encik Bali tetap perlu menunggu sehingga lima jam sebelum dapat membeli tiket pulang ke Johor Bahru.

Seorang lagi warga Malaysia yang bertuah mendapat tiket pulang menerusi bas VTL sulung itu ialah seorang pelajar, Lim Wei Jie, 21 tahun.

"Saya mestilah gembira boleh balik Malaysia pada masa sekarang ini. Sebab saya sudah satu tahun tidak pulang. Saya akan tinggal lama di sana selama sebulan," katanya.
Lim berkata bahawa dia ingin meluangkan masa sebanyak mungkin bersama keluarganya apabila pulang.

Seorang lagi penumpang yang kami temui, Jururawat Staf, Cheong Weng Yin, 31 tahun, akan berada di Johor Bahru selama seminggu.

"Memang untuk hari ini saya takut sebenarnya. Dari semalam saya tidak boleh tidur. Takut lah," katanya.

Namun demikian segala-galanya berjalan lancar dan cukup licin bagi warga-warga Malaysia itu. Itu jugalah penilaian Pusat Pemeriksaan Woodlands.

APA PROSES PEMERIKSAAN YANG DILALUI PENUPANG?

Di Pusat Pertukaran Bas Sementara Woodlands, para penumpang perlu datang sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu bas berangkat.

Dalam masa itu, mereka perlu menjalani proses pemeriksaan di mana mereka perlu menunjukkan bahawa mereka mempunyai hasil negatif ujian PCR atau ART serta sijil perjalanan penumpang sudah divaksin yang sah.

Selepas itu, mereka akan diberi pelekat VTL. Barulah mereka akan memulakan perjalanan pulang ke Johor Bahru.

Khidmat bas kendalian syarikat Transtar Travels, yang hanya boleh menampung sehingga 45 penumpang, juga bertolak tepat pada waktu yang ditetapkan.

Transtar Travels menawarkan 16 khidmat bas dari Pusat Pertukaran Bas Sementara Woodlands ke Terminal Bas Larkin Sentral setiap hari, bermula dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

KEGENJOTAN KECIL

Namun demikian, operasi hari pertama VTL darat Singapura-Johor Bahru sebenarnya tidak sunyi daripada kegenjotan-kegenjotan kecil.

Warga Singapura itu didapati tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk laluan VTL Darat. Hanya rakyat Malaysia, pemegang pas panjang Malaysia dan penduduk tetap Malaysia yang boleh memanfaatkan skim VTL Darat itu untuk memasuki Johor Bahru.

Kedua, satu kes positif COVID-19 dikesan dari kalangan penumpang bas VTL. Penumpang lelaki itu didapati negatif di Singapura tetapi didapati positif setelah menjalani pemeriksaan di Johor.

Di Terminal Queen Street pula, suasananya agak sepi. Bas pertama kendalian syarikat Handal Indah itu yang bergerak ke Pusat Pemeriksaan Woodlands tertunda selama setengah jam.

Handal Indah mengendalikan 32 perjalanan sehari antara Terminal Bas Larkin Sentral dengan Terminal Queen Street di Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa