Vivian Balakrishnan lawat China, bertemu Penasihat Negara Wang Yi
Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan akan melakukan lawatan dua hari ke Fujian, China, menurut kementeriannya pada Selasa (30 Mac).
SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan akan melakukan lawatan dua hari ke Fujian, China, menurut kementeriannya pada Selasa (30 Mac).
"Kunjungannya mengukuhkan hubungan lama dan penting antara Singapura dengan China, sedang kedua-dua negara bekerjasama untuk memperkukuh pemulihan ekonomi menyusuli pandemik COVID-19," kata Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA).
Semasa lawatan dua hari itu, Dr Balakrishnan akan bertemu dan menghadiri jamuan yang diadakan oleh Penasihat Negara merangkap Menteri Ehwal Luar China Wang Yi.
Lawatan Dr Balakrishnan ke Fujian dilakukan selepas lawatannya ke Brunei, Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.
Isnin lalu di Brunei, Dr Balakrishnan bertemu Sultan Hassanal Bolkiah dan Menteri Kedua Ehwal Luar Erywan Pehin Yusof.
Dalam pertemuan dengan Encik Erywan, kedua-dua menteri bersetuju bahwa keadaan sekarang di Myanmar menimbulkan keprihatinan mendalam, dan menggesa semua pihak di Myanmar untuk mencari huraian damai.
Di Malaysia, Dr Balakrishnan bertemu rakan sejawatannya Hishammuddin Hussein di Putrajaya. Kedua-dua negara menegaskan komitmen mereka untuk berusaha ke arah mengiktiraf sijil vaksin COVID-19 masing-masing.
Para menteri itu juga berkata bahawa Malaysia dan Singapura komited untuk memulihkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara, di samping Laluan Hijau Timbal Balik dan Aturan Perjalanan Berkala.
Khamis lalu, Dr Balakrishnan bertemu Menteri Ehwal Luar Indonesia Retno Marsudi ketika berada di Jakarta untuk lawatan dua hari.
Dalam sidang media bersama, kedua-dua menteri berkata bahawa para pemimpin Singapura dan Indonesia akan bertemu secara empat mata semasa retreat yang akan diadakan tahun ini.
Dr Balakrishnan juga berkata bahawa Singapura dan Indonesia secara ideal harus memiliki "tahap kawalan yang sama" terhadap penularan COVID-19 sebelum aturan perjalanan boleh disambung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.