Virus Wuhan: SIA, SilkAir dan Scoot kurangkan penerbangan ke China
Singapore Airlines (SIA) menyatakan pada Jumaat (31 Jan) bahawa ia akan mengurangkan jumlah penumpang di beberapa laluan penerbangannya ke China pada Februari kerana wabak virus korona yang semakin menular.

Gambar fail pesawat Scoot, Silkair dan SIA di landasan Lapangan Terbang Changi (Gambar: Reuters/Edgar Su)
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) menyatakan pada Jumaat (31 Jan) bahawa ia akan mengurangkan jumlah penumpang di beberapa laluan penerbangannya ke China pada Februari kerana wabak virus korona yang semakin menular.
Pengurangan itu termasuk khidmat penerbangan ke Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Chengdu, Xiamen and Chongqing, yang sebahagiannya disediakan menerusi cabang serantaunya SilkAir, menurut SIA di laman Facebooknya.
Syarikat penerbangan tambang rendah SIA, Scoot menyatakan ia akan menggantung khidmat penerbangan ke 11 bandar di China mulai Februari hingga hujung Mac dan akan mengurangkan kekerapan penerbangan ke lapan destinasi China yang lain.
Scoot akan menggantung khidmat penerbangan antara Singapura dengan Harbin, Hangzhou, Shenyang, Xi’an, Changsha, Nanchang, Zhengzhou, Ningbo, Jinan, Nanning dan Wuxi, kata SIA di laman Facebooknya.
Kekerapan khidmat penerbangan akan dikurangkan bagi Fuzhou, Guangzhou, Haikou, Kunming, Nanjing, Qingdao, Tianjin dan Macau, dari 1 Feb hingga 28 Mar, 2020.
Beberapa penerbangan antara Singapura dengan Guangzhou, Nanjing, Macau dan Hong Kong juga akan dibatalkan, tambah Scoot.
Jumlah kematian yang disahkan akibat penularan virus korona di China telah meningkat kepada lebih 200 orang selepas wilayah Hubei yang paling teruk terjejas melaporkan 42 lagi kematian pada Jumaat.
Pada Khamis, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan global ke atas patogen membawa maut itu yang sudah merebak ke sejumlah negara di merata dunia.
"Kita mesti bertindak bersama-sama untuk membendung penularan lebih luas ... Kita hanya mampu mengatasinya secara bersama," kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa satu taklimat di Geneva.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.