Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Virus Wuhan: Sebahagian klinik S'pura kehabisan stok vaksin flu dek permintaan tinggi

Para doktor klinik-klinik keluarga tempatan menyatakan, disebabkan kebimbangan mengenai virus Wuhan, lebih ramai pesakit kini meminta suntikan vaksin influenza.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para doktor klinik-klinik keluarga tempatan menyatakan, disebabkan kebimbangan mengenai virus Wuhan, lebih ramai pesakit kini meminta suntikan vaksin influenza.

Sebahagian klinik malah menyatakan ia sudah kehabisan stok dek banyaknya permintaan sedang virus korona Wuhan kini berleluasa.

BERITAmediacorp malah diberitahu bahawa terdapat warga Malaysia yang ke Singapura, semata-mata untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza.

Yang jelas, virus korona Wuhan itu yang menyebabkan 17 orang maut dan hampir 600 lain dijangkiti di China, membimbangkan warga sejagat, termasuk di Singapura.

Antara tanda-tanda penyakit virus baru itu termasuklah simptom-simptom seperti selesema, demam, batuk-batuk, sesak nafas dan sakit tekak atau hidung berair.

KLINIK TEMPATAN DALAM KEADAAN BERJAGA-JAGA

Klinik-klinik keluarga di Singapura kini dalam keadaan berjaga-jaga dan menjadi antara barisan hadapan dalam menangani penularan virus Wuhan.

Mentelah lagi, penularan wabak baru itu kini berkembar dengan musim wabak Influenza A dan B, yang biasa berlaku pada bulan ini.

Dr Elly Sabrina dari Banyan Clinic misalnya akur, ekoran faktor virus Wuhan, wujud permintaan yang bertambah bagi mendapatkan vaksin influenza sehingga stok di klinik beliau kehabisan.

"Vaksin ini digalakkan untuk golongan yang mungkin penahanan badannya tidak begitu baik. Tapi saya ingin tekankan bahawa vaksin influenza tidak melindungi seseorang itu daripada radang paru-paru Wuhan," jelas Dr Elly yang mempunyai dua cawangan klinik keluarga.

Sentimen yang sama dikongsi seorang lagi doktor keluarga, Dr Muhd Iqbal Abdullah, yang kliniknya The ClinIQ mempunyai lima cawangan.

"Apabila berita mengenai pneumonia Wuhan ini datang, ramai orang yang mungkin ada Influenza A takut sama ada mereka ada virus korona yang lebih berbahaya dan mengakibatkan kematian," kata Dr Iqbal.

WARGA M'SIA DATANG KE S'PURA UNTUK SUNTIKAN VAKSIN

Dr Iqbal malah berkata, lantaran rasa cemas di kalangan sebilangan anggota masyarakat, kliniknya kini turut menyaksikan permintaan dari warga Malaysia bagi vaksin flu.

"Sebab berita mengenai pneumonia Wuhan ini, lebih ramai orang yang lebih prihatin, lebih ramai orang yang mahukan suntikan vaksin flu dan saya rasa kebanyakan tempat di Malaysia sudah kehabisan stok vaksin flu.

"Jadi saya dapat pesakit daripada orang Malaysia, datang ke Singapura, hanya untuk mendapatkan suntikan vaksin," dedah Dr Iqbal.

LANGKAH KECEMASAN SUDAH DITERAPKAN

Para doktor keluarga yang kami temui itu menambah, mereka sudahpun mendapat notis dari MOH mengenai pelbagai langkah kecemasan.

Misalnya jika mereka menerima pesakit yang baru pulang dari Wuhan, pesakit itu akan didahulukan.

Langkah segera akan diambil sekiranya pesakit itu menunjukkan simptom-simpton seperti virus Wuhan.

"Kalau kita syak seseorang itu ada virus korona pneumonia Wuhan, kita akan menghantar mereka ke Hospital Tan Tock Seng sebab Tan Tock Seng telah dipastikan sebagai hospital yang menangani semua disyaki kes berkaitan dengan virus korona Wuhan ini," jelas Dr Iqbal.

Dr Elly menambah: "Jika ada kes, saya rasa kita tak perlu khuatir kerana langkah-langkah sudahpun diterapkan bagaimana untuk menangani wabak ini."

Ini kerana pihak berkuasa Singapura sudahpun mempelajari dan mempunyai pelan persediaan dalam bentuk langkah-langkah kecemasan ekoran peristiwa wabak virus pernafasan SARS, yang menyerang negara ini pada 2003.

33 orang maut dan 238 kes jangkitan SARS dicatatkan ketika itu.

Setakat ini, Singapura menyiasat 28 kes yang disyaki virus Wuhan itu.

Terkini, satu kes bagaimanapun sudah disahkan sebagai virus Wuhan.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan