Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Virus Wuhan: ICA akan mula pemeriksaan suhu badan di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas

 Pemeriksaan suhu badan bagi para pelancong yang tiba di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas akan bermula pada tengah hari Jumaat (24 Jan), dalam satu respons kepada kes virus korona yang bermula di Wuhan, China dan sejak itu sudah menular ke negara-negara lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Virus Wuhan: ICA akan mula pemeriksaan suhu badan di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas
Diterbitkan : 24 Jan 2020 03:22PM Dikemas Kini : 24 Jan 2020 03:25PM

SINGAPURA: Pemeriksaan suhu badan bagi para pelancong yang tiba di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas akan bermula pada tengah hari Jumaat (24 Jan), dalam satu respons kepada kes virus korona yang bermula di Wuhan, China dan sejak itu sudah menular ke negara-negara lain.

Pemeriksaan itu juga dilaksanakan di tengah-tengah jangkaan bahawa jumlah pelancong akan meningkat sepanjang cuti Tahun Baru Cina, menurut satu kenyataan media oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Singapura mengesahkan kes pertama virus Wuhan pada malam Khamis - seorang penduduk Wuhan, 66 tahun, yang tiba di Singapura dengan keluarganya pada 20 Jan. Beliau kini dikuarantin di Hospital Besar Singapura dan berada dalam keadaan stabil.

Pihak berkuasa mengumumkan pada Khamis bahawa pemeriksaan sempadan akan diperluaskan ke semua pusat pemeriksaan darat dan laut, manakala satu nasihat perjalanan sudah dilanjutkan bagi rakyat Singapura untuk elak daripada melakukan perjalanan ke Hubei, tempat terletaknya bandar Wuhan.

ICA pada Jumaat menyatakan bahawa pemeriksaan suhu badan akan dilaksanakan oleh "pembantu jagaan kesihatan" bagi para pengunjung yang tiba di pusat pemeriksaan darat, dan kes-kes yang disyaki akan dirujuk kepada hospital bagi penilaian lanjut.

Pemeriksaan akan dilakukan "secara bertahap-tahap" bagi semua jenis pengangkutan seperti berikut:

Melalui bas: Para penumpang akan diperiksa di dewan bas sebelum kaunter imigresen. Pemandu bas akan diperiksa di kawasan pemeriksaan keselamatan.

Melalui kereta api: Para penumpang akan diperiksa di platform tempat mereka turun, sebelum memasuki dewan kereta api bagi pelepasan imigresen.

Melalui kereta: Para penumpang perlu menurunkan tingkap kereta masing-masing bagi pemeriksaan suhu badan di kawasan pemeriksaan keselamatan sebelum kaunter imigresen.

Melalui motosikal: Para penumpang perlu membuka topi keledar bagi pemeriksaan suhu badan di kawasan pemeriksaan keselamatan selepas kaunter imigresen.

Melalui lori: Para penumpang akan diperiksa di platform kargo atau kaunter imigresen.

TRAFIK CUTI UMUM DIJANGKA SESAK: ICA

Keadaan lalu lintas dijangka sesak antara Sabtu hingga Selasa semasa cuti Tahun Baru Cina.

Nasihat kesihatan sudah dipaparkan di pusat pemeriksaan darat bagi menasihati para pelancong agar mengambil tindakan berjaga-jaga apabila dalam perjalanan dari China atau pulang.

"Penduduk Singapura yang perlu ke kawasan terjejas dinasihati memeriksa laman MOH secara tetap untuk maklumat terkini.

"Para pengunjung ke China juga dinasihati berwaspada, memantau perkembangan dan mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan China semasa di China," tambah ICA.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan