Virus korona jejas teruk pemandu limusin Mohamad Azan; cari sumber lain tampung sewa, keluarga
Encik Mohamad Azan, seorang pemandu kereta limusin yang biasanya membawa pelancong, tidak mempunyai sebarang tempahan bagi bulan Januari sejak virus korona baru mula mendapat perhatian seluruh dunia.
(Gambar: Jalelah Abu Baker/CNA)
SINGAPURA: Encik Mohamad Azan, seorang pemandu kereta limusin yang biasanya membawa pelancong, tidak mempunyai sebarang tempahan bagi bulan Januari sejak virus korona baru mula mendapat perhatian seluruh dunia.
Jika selalunya beliau sibuk menjemput pelancong dari lapangan terbang dan membawa mereka bersiar-siar, Encik Azan seperti ramai pemandu lain kini terpaksa bersabar dan terus berikhtiar.
Sebilangan tempahan yang diterimanya sebelum ini turut dibatalkan, luah Encik Azan. Sedang Pemerintah mengumumkan bahawa jumlah pelancong dari China sudah menjunam 80 peratus sejak negara itu menguatkuasakan sekatan perjalanan pada 23 Jan, Encik Azan berkata tempahan daripada pengunjung negara lain seperti India dan Indonesia turut mengalami kemerosotan.
Beliau kini semakin risau memikirkan S$3,000 yang perlu dilunaskan kepada bank setiap bulan untuk bayaran ansuran bagi keretanya.
Meskipun beliau kini menyewakan dua bas mini kepada rakan-rakannya, Encik Azan memberitahu Mediacorp: "Saya perlukan pelan B, takut rakan-rakan saya mahu kembalikan bas-bas mini itu. Saya tidak tahu berapa lama keadaan ini akan berterusan, ia mungkin bertambah teruk".
USAHA TANGANI KEADAAN
Untuk menyara kehidupannya, Encik Azan bekerja sebagai seorang pemandu kereta sewa privet demi mencari nafkah tambahan.
Acara Pertunjukan Udara Singapura tahun ini yang bakal berlangsung dari 11 hingga 16 Februari sepatutnya waktu yang sibuk baginya. Namun selain tempahan awal oleh pihak penganjur, Encik Azan tidak menerima tempahan-tempahan lain seperti yang lazimnya beliau terima.
Pemandu kereta limusin selama 25 tahun itu pernah melalui wabak Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) pada 2002-2003. Ketika itu beliau menyewa lima kereta. Namun beliau terpaksa mengembalikan empat kereta dan menyerahkan kereta terakhir kepada rakannya yang membantunya membayar ansuran bulanan. Beliau sendiri terpaksa bekerja sebagai seorang pemandu peribadi selama setahun setengah.
Encik Justin Lim, seorang pemandu kereta sewa privet, juga terjejas. Beliau menceritakan bagaimana pendapatannya menjunam 15 hingga 20 peratus, ke tahap paling rendah sepanjang tempoh bekerja sebagai seorang pemandu kereta sewa privet selama lebih empat tahun.
Kedua-dua Encik Azan dan Encik Lim meluahkan keprihatinan masing-masing kepada Mediacorp pada Sabtu (1 Feb) di Shangri-la Rasa Sentosa, di mana mereka dan pemandu-pemandu lain bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat untuk memberikan maklum balas tentang cabaran yang terpaksa ditempuhi.
SEKTOR PENGANGKUTAN, PELANCONGAN PALING TERUK TERJEJAS
Pada Sabtu, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan sektor pengangkutan dan pelancongan adalah dua sektor yang paling teruk terjejas oleh penularan virus korona baru. Kedua-dua kementerian menarik perhatian kepada kemerosotan pada trafik udara di Lapangan Terbang Changi dan pembatalan tempahan di tempat-tempat penginapan.
Pembatalan bagi bilik dan acara meningkat dalam industri perhotelan, dengan jumlah tempahan turut merosot, dedah Cik Julie Cheong, presiden Kesatuan Pekerja Makanan dan Minuman Bersekutu, yang mewakili para pekerja dalam industri seperti perhotelan dan pasar raya.
"Bulan ini sepatutnya bulan yang baik menjelang pertunjukan udara. Tempahan lazimnya sekitar 80 peratus tetapi kini setakat mencecah 60 peratus," kata beliau.
Encik Patrikc Fiat, pengurus besar Hotel Royal Plaza on Scotts berkata beberapa faktor menjejas tempahan bagi bilik hotel, penganjuran acara dan tempahan F&B.
"Gelombang pertama adalah pembatalan pengunjung China, dengan tempahan sebanyak 1,000 bilik setiap malam. Gelombang kedua pula adalah pengunjung dari negara-negara lain yang ingin mengelakkan perjalanan ke Singapura dan negara-negara di rantau ini," kata beliau.
Ramai pengunjung korporat juga terjejas dengan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan. Setakat ini, Hotel Royal Plaza on Scotts menjangkakan kerugian sebanyak S$700,000 pada pendapatannya.
"Kami mengalu-alukan sokongan Pemerintah untuk membantu perniagaan mengharungi tempoh ini kerana syarikat-syarikat perusahaan perlu menanggung kos di tengah-tengah tempoh suram ini," kata Encik Fiat.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.