Virus korona baru: Yuran lesen diketepikan bagi hotel, ejen pelancongan, pemandu pelancong
Yuran lesen bagi hotel, ejen pelancongan dan pemandu pelancong akan diketepikan sebagai sebahagian daripada langkah untuk membantu sektor perlancongan di negara ini yang "terjejas secara langsung" akibat penularan virus korona 2019-nCoV, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) hari ini (2 Feb).
SINGAPURA: Yuran lesen bagi hotel, ejen pelancongan dan pemandu pelancong akan diketepikan sebagai sebahagian daripada langkah untuk membantu sektor perlancongan di negara ini yang "terjejas secara langsung" akibat penularan virus korona 2019-nCoV, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) hari ini (2 Feb).
STB juga akan menampung kos pembersihan di hotel-hotel yang menyediakan penginapan kepada mereka yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus korona baru itu.
Skim-skim tersebut adalah langkah pertama dalam membantu perniagaan pelancongan "menangani kesan segera" akibat penularan virus itu, menurut STB lagi.
"Sektor pelancongan terjejas secara langsung akibat virus korona baru, akibat kemerosotan dalam jumlah pelawat, terutama sekali dari China," kata STB dalam satu kenyataan media hari ini.
Pelancong dari China membentuk sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelawat asing ke Singapura, dengan sekitar 3.6 juta pelancong yang tiba di Singapura pada 2019.
Pada awal minggu ini, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong mengumumkan sekatan perjalanan lebih meluas yang meliputi semua pengunjung ke Singapura - tidak kira kewarganegaraan mereka - yang mengunjungi China baru-baru ini.
Mereka juga tidak akan dibenarkan membuat persinggahan ke Singapura, sebagai sebahagian daripada sekatan yang berkuatkuasa pada 11.59 malam pada Sabtu (1 Feb).
BANTUAN TAMPUNG YURAN PEMBERSIHAN DAN LESEN
Terdapat 18 kes jangkitan virus korona baru yang disahkan di Singapura. Daripada 18 individu itu, 16 merupakan pengunjung dari Wuhan dan dua lagi adalah rakyat Singapura yang diterbangkan pulang dari Wuhan pada 30 Jan.
STB menyatakan hotel-hotel yang menyediakan penginapan kepada kes-kes jangkitan yang disyaki dan disahkan akan diberi bantuan dari segi kos pembersihan persekitaran dan pembersihan secara menyeluruh.
"STB akan menampung sehingga 50 peratus daripada kos pembersihan pakar pihak ketiga; dihadkan kepada S$20,000 bagi setiap hotel dengan kes jangkitan disahkan; dan S$10,000 bagi setiap hotel dengan kes disyaki," tambah STB.
Tarikh bagi membuat tuntutan berkuatkuasa pada 23 Jan lalu, ketika kes jangkitan pertama didapati positif dikesan di Singapura.
Yuran lesen bagi hotel-hotel buat seluruh tahun ini turut akan diketepikan oleh Lembaga Pelesenan Hotel. "Begitu juga bagi ejen-ejen pelancongan dan pemandu pelancong yang perlu memperbaharui lesen mereka pada 2020 tidak perlu membayar yuran pembaharuan lesen mereka," menurut STB.
Butiran penuh mengenai pakej keseluruhan langkah-langkah bantuan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 pada 18 Feb.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.